MENJADI kelaziman mana-mana pasangan suami isteri yang bercerai, salah seorang akan keluar dari rumah selepas tidak lagi bersama. Dalam politik pun sama, jika mana-mana parti politik dalam sesebuah gabungan sudah berpisah, adakah kedua-dua parti politik itu masih ingin terus kekal berada dalam satu ‘rumah’ yang sama.
Agak janggal, lainlah kalau situasi seperti itu, masih boleh dianggap biasa atau ada dalil tersendiri bagi ‘menghalalkannya’.
Pas telah memutuskan hubungan kerjasama politiknya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status Perikatan Nasional (PN) iaitu ‘rumah’ bagi kedua-kedua parti itu sejak 2020 dan kemudian turut ‘dihuni’ Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Bersatu yang ‘dicerai’ telah mengesahkan kedudukannya di dalam PN. Kata Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan kekal dalam PN tersebut dibuat atas kapasiti sebagai parti pengasas kepada kewujudan PN.
Serentak itu, Bersatu turut menuntut jawatan Pengerusi PN yang kini disandang Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dikembalikan kepada Muhyiddin. Manakala di pihak Pas yang ‘menceraikan’ pula masih tidak menyentuh lagi mengenai kedudukan mereka di dalam PN.
Melihat kepada situasi itu, Gerakan dan MIPP mungkin bakal memainkan peranan melalui suara majoriti, parti mana yang mereka mahu kekal berada di dalam PN.
Setakat ini, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai sekadar memaklumkan pihaknya menunggu penjelasan lanjut daripada Pas dan Bersatu sebelum membuat sebarang keputusan.
Jika disoroti sejarah, kerjasama politik Pas khususnya dengan mana-mana parti politik atau gabungan tidak pernah berkekalan, sering berakhir dengan perpisahan.
Bermula dengan Barisan Nasional (BN) pada era 1970-an, kemudian Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR), Muafakat Nasional (MN) dan kini berakhirnya hubungan dengan PN.
Pas ada alasan tertentu setiap kali berpisah. Yang sentiasa dilaung-laungkan perpaduan ummah, mempertahankan Melayu, Islam namun jika dilihat semakin hari, parti-parti Melayu Islam ini terus berpecah-belah.
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bakal ada Pas, UMNO, Bersatu. Tidak cukup dengan itu, ada lagi kumpulan Reset. Banyak lagi parti-parti kecil lain berteraskan Melayu Islam juga mencuba nasib.
Apa yang pasti, ramai ingin mengetahui siapa pula pasangan baharu Pas selepas ini dengan UMNO dan kumpulan Reset Datuk Seri Hamzah Zainudin antara dikaitkan bagi menghidupkan Muafakat Nasional (MN 2.0).
Bagaimanapun, UMNO setakat ini tidak berhasrat menghidupkan semula MN kerana menganggap kerjasama tersebut sudah berakhir dan tidak lagi menjadi agenda parti itu.
Kata Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Muafakat Nasional telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) oleh seseorang. Jadi, UMNO tidak langsung mempunyai niat dan tidak berhasrat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional sama ada versi 1.0 atau 2.0. Itu telah muktamad. – UTUSAN










