ISKANDAR PUTERI: Pemasyhuran memansuhkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah diserahkan secara rasminya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.
Perkara itu disahkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd. Puad Zarkashi ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Surat berkenaan memaklumkan bahawa pembubaran DUN Johor telah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Sehubungan itu, satu notis pemasyhuran memansuhkan dewan berkenaan telah dikemukakan kepada SPR hari ini.
“Dimaklumkan bahawa Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah berkenan membuat pemasyhuran memansuhkan Dewan Negeri Johor pada 1 Jun 2026,” katanya dalam surat rasmi kepada Pengerusi SPR tersebut.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Sidang DUN Johor sekaligus memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan negeri baharu menerusi PRN akan datang.
Susulan itu, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dilaporkan berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan pihaknya akan membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN berkenaan.










