KULAI: DAP akan mempertaruhkan seramai 17 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, dengan tiga daripadanya calon Melayu, dua calon India dan baki 12 calon daripada kaum Cina.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya turut menampilkan lebih ramai calon wanita sebagai usaha memperkukuh penyertaan golongan tersebut dalam politik parti.
Sementara itu, beliau turut memberitahu DAP akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, di sini buat pertama kalinya pada PRN Johor akan datang dengan menampilkan calon Melayu, Mohamad Syafwan Ani.
“Keputusan meletakkan calon Melayu di kerusi DUN berkenaan merupakan strategi parti memandangkan majoriti pengundi di kawasan tersebut adalah Melayu.
“Mohamad Syafwan bukan nama asing di kawasan Bukit Permai kerana telah berkhidmat sebagai pembantu khas Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan aktif di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu.
“Pemilihan Mohamad Syafwan dibuat berdasarkan pengalaman serta penglibatan beliau di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon Bukit Permai dan Senai di Bilik Gerakan PH Senai, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Siew Fook yang juga Timbalan Pengerusi PH turut mengumumkan penyandang kerusi DUN Senai, Wong Bor Yang diberikan kepercayaan untuk mempertahankan kerusi berkenaan selepas memberikan perkhemahan baik di kawasan tersebut.
“Kita perlukan calon yang bukan sahaja dikenali masyarakat, tetapi telah lama turun padang dan memahami keperluan penduduk di kawasan masing-masing.
“PH sasarkan untuk memang di ketiga-tiga kerusi DUN bawah Parlimen Kulai iaitu Senai, Bukit Batu dan Bukit Permai pada PRN kali ini. Sebahagian calon telah diumumkan manakala selebihnya akan diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon di Bukit Gambir, Tangkak, Isnin depan,” katanya.-UTUSAN










