JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor tidak perlu bimbang dengan calon ‘poster boy’ atau calon Menteri Besar daripada Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan berkenaan berjaya menubuhkan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu pada akhirnya tertakluk kepada perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim selaras dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.
“Desakan dibuat Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hanyalah cubaan mencipta polemik politik dan persepsi, memandangkan pelantikan jawatan nombor satu negeri itu akhirnya tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.
“PH termasuklah PKR mempunyai ramai calon pemimpin yang layak, berwibawa serta berintegriti untuk memikul amanah tersebut sekiranya diberikan mandat oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Tambah Naib Presiden PKR itu, pemilihan seseorang individu sebagai ‘poster boy’ juga tidak menjamin beliau akan dipilih menjadi Menteri Besar.
“Rakyat Johor pasti masih ingat apabila UMNO dan BN menampilkan Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai ‘poster boy’ ketika kempen, tetapi akhirnya yang dilantik sebagai Menteri Besar ialah Datuk Onn Hafiz sendiri.
“Justeru, tindakan beliau mendesak PH ketika ini menimbulkan tanda tanya sama ada beliau benar-benar bercakap tentang hak rakyat, atau sekadar cuba mencetuskan polemik.
“Fokus PH ketika ini adakan untuk turun padang bertemu seramai mungkin rakyat dan mendengar permasalahan mereka agar dapat merangka dasar dan polisi konkrit demi masa depan negeri,” katanya.-UTUSAN










