Marina nafi lompat parti, dibeli pihak tertentu susulan keputusan undur politik - Utusan Malaysia

Marina nafi lompat parti, dibeli pihak tertentu susulan keputusan undur politik

Marina Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menafikan dakwaan bahawa dirinya akan melompat parti atau telah ‘dibeli’ pihak lain susulan keputusan mengundurkan diri daripada politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sebaliknya beliau berkata, langkah diambil dibuat selepas perbincangan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang banyak membantunya sepanjang bergelar wakil rakyat sejak 2022 lalu.

“Orang mula bina persepsi buruk dan tanggapan hanya sebab saya tidak vokal dalam mengkritik. Walaupun saya seorang ahli politik, saya tidak memilih untuk membangkang semua perkara semata-mata kerana perbezaan politik.

“Sebab saya percaya politik bukan sekadar soal sejauh mana kita hebat serang orang, tetapi soal menyelesaikan masalah di lapangan. Saya sedar tak semua ahli politik bersetuju dengan cara saya.

“Saya bukan tiada telinga mendengar, ada yang melihat peranan pembangkang sebagai menentang setiap perkara yang dilakukan kerajaan. Namun bagi saya, apabila sesuatu perkara memberi manfaat kepada orang kawasan saya, menjadi tanggungjawab kita untuk menyokong kalau benda baik,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Tambah Marina, banyak masalah rakyat dapat diselesaikan melalui hubungan kerja baik, rundingan matang dan kemampuan membina jambatan antara pelbagai pihak.

“Sebab itulah saya boleh dilihat jarang berpolitik apabila belum sampai masanya. Keutamaan sentiasa kepada kepentingan rakyat di lapangan. Penat kena maki di lapangan sebab urusan kawasan 20, 30 tahun lepas hatta sebelum saya lahir pun masih tak selesai. Nak salahkan rakyat, tak boleh, mereka pun penat, lagi penat.

“Politik ada waktunya, bila nak pilihan raya, tetapi bagi saya membantu rakyat tidak boleh menunggu musim. Kekuatan sebenar seorang ahli politik jangan diukur melalui berapa banyak pertelingkahan dibuat, tetapi melalui berapa banyak masalah rakyat yang berjaya diselesaikan. Itulah semangat yang saya nak pegang dalam berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Menurut Marina lagi, pendekatan diambilnya itu selari dengan pendekatan politik dan konteks budaya di negeri ini yang menekankan kestabilan, hubungan kerja dan penyelesaian praktikal berbanding politik konfrontasi berpanjangan.

“Johor kena jadi Johor, kalau nak kata saya lemah atau lembik, tidak kisah. Pandangan dan pentafsiran orang pelbagai, tetapi bagi saya ini bukan tanda kelemahan tetapi satu bentuk diplomasi strategik yang membolehkan lebih banyak perkara dicapai untuk kawasan aku.

“Maaf lah kalau ada yang tak senang cara saya,” katanya.

Terdahulu, Marina membuat pengumuman mengundurkan diri daripada arena politik dipercayai selepas tidak bersetuju keputusan kepimpinan DAP yang mahu beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, dan bukan kekal di kerusi DUN Skudai yang dimenanginya dalam PRN lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN