Adakah rakyat Sabah rasis kerana menolak dap - MCA - Utusan Malaysia

Adakah rakyat Sabah rasis kerana menolak dap – MCA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mempersoalkan apakah rakyat Sabah rasis apabila sepakat menolak calon-calon DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ka Siong berkata, kenyataan dibuat Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menolak kerjasama dengan DAP bukan bersifat rasis atau negatif terhadap masyarakat Cina.

“Tolak DAP bukan rasis. Itu politik. DAP bukan kaum. DAP ialah parti politik. Kalau tolak DAP dikira rasis, maka apa pula namanya bila DAP tolak MCA, UMNO, MIC, Pas atau Bersatu selama ini.

“Kita lihat juga PRN Sabah baru-baru ini. DAP kalah semua lapan kerusi yang ditandingi, termasuk di kawasan bandar yang ada ramai pengundi Cina. Pengundi Cina di Sabah tolak DAP. Jadi adakah kita mahu kata pengundi Cina di Sabah pun rasis terhadap DAP.

“Sudah tentu tidak. Mereka buat pilihan politik. Sama juga dengan rakyat Johor. Mereka berhak buat pilihan politik sendiri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Timbalan Pengerusi BN itu, Onn Hafiz merupakan seorang pemimpin yang diterima baik masyarakat berbilang kaum di negeri ini termasuklah daripada komuniti Cina.

“Beliau tidak melihat rakyat Johor melalui lensa kaum yang sempit. Beliau benar-benar melihat semua rakyat Johor sebagai satu rakyat, satu keluarga, satu Bangsa Johor.

“Malah, antara exco Johor yang sering beliau rujuk dan beri tanggungjawab penting ialah dua wakil MCA dalam kerajaan negeri. Jadi, menuduh Onn Hafiz rasis kerana mahu bertanding dan bergerak secara solo adalah tidak adil, tidak bertanggungjawab dan tidak jujur,” katanya.

Ka Siong turut berkata, kerjasama di peringkat pusat yang terjalin selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tidak boleh dipaksa di peringkat kerajaan negeri.

“Kalau DAP boleh tolak parti lain dan panggil itu strategi politik, maka BN Johor juga ada hak yang sama untuk tentukan haluan sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN