UMNO, BN Johor tidak khianat sesiapa - Utusan Malaysia

UMNO, BN Johor tidak khianat sesiapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG:Tuduhan UMNO sebagai pengkhianat kerana akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tanpa kerjasama Pakatan Harapan (PH) merupakan satu penghinaan yang tidak boleh dimaafkan.

Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday berkata, kerajaan negeri yang dibentuk selepas PRN 2022 lalu terdiri daripada gabungan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan tidak melibatkan mana-mana parti komponen PH.

Katanya, penubuhan kerajaan negeri juga tidak berkaitan dengan kerjasama kedua-dua gabungan itu di peringkat persekutuan menerusi kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu, tuduhan yang mengatakan UMNO dan BN Johor sebagai pengkhianat adalah tidak kena sama sekali, ini kerana tiada mana-mana pihak pun yang dikhianati berhubung perkara ini.

“Kerajaan Johor dibentuk BN dengan majoriti lebih dua pertiga iaitu 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 56 kerusi dipertandingkan. Ini bukti kekuatan BN di negeri ini,” katanya kepada pemberita.

Tambah Md. Jais, kenyataan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan yang mahu menguburkan UMNO dan BN di negeri ini buat kali kedua merupakan satu penghinaan kepada parti yang banyak membela nasib masyarakat khususnya Melayu di negeri ini.

“Keadaan sudah berbeza, apa yang berlaku kepada politik negara sejak 2018 sudah berbeza dengan keadaan dalam pilihan raya akan datang. Ketika itu PH telah menggunakan fitnah untuk menjatuhkan kerajaan semasa.

“Tetapi sehingga hari ini tiada mana-mana kes difitnah terbukti benar,” katanya.

Semalam, Aminolhuda yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mendakwa pihaknya akan menguburkan UMNO dan BN negeri ini dalam PRN akan datang susulan pengumuman Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk bertanding solo.

Sementara itu, laungan ‘UMNO Pengkhianat’ dan juga ‘Tolak UMNO’ turut kedengaran dilaungkan oleh perwakilan yang menghadiri Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN