JOHOR BAHRU: Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri mengakui telah menerima surat pemakluman Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sehari yang dijadual pada 22 Jun depan.
Bagaimanapun, rata-rata mereka enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu susulan tidak mempunyai maklumat lengkap mengenainya.
ADUN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan bagaimanapun berkata tiada keperluan memanggil sidang DUN sekiranya kerajaan negeri mahu dibubarkan.
“Surat berkenaan memaklumkan Sidang DUN khas, cuma saya tidak tahu jika ia berkaitan pembubaran atau sebaliknya. Tetapi kalau hendak bubar DUN tak perlu ada sidang DUN khas,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat BN Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.
Tambah beliau, pembubaran DUN untuk PRN lalu dibuat Menteri Besar ketika itu di Pejabat Perhubungan UMNO negeri.
Sementara itu, ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon turut mengesahkan perkara sama bagaimanapun enggan mengurangkan lebih lanjut.
Pada 17 Mei lalu, tular satu mesej melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan kerajaan negeri akan memanggil kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk sesi Sidang DUN khas pada 24 Jun depan.
Bagaimanapun, Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali yang ditemui pada 22 Mei lalu enggan mengesahkan khabar angin tersebut dan memaklumkan pemberita bahawa perkara berkenaan belum pasti.










