Sidang DUN khas 24 Jun depan tidak pasti - Timbalan Speaker Johor - Utusan Malaysia

Sidang DUN khas 24 Jun depan tidak pasti – Timbalan Speaker Johor

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir Mesyuarat UMNO Negeri di Pejabat Perhubungan UMNO Johor. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali enggan mengesahkan khabar angin satu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas akan diadakan, 24 Jun depan.

“(Sidang DUN khas) Tidak pasti. Minit mesyuarat perbincangan sekiranya ada juga tidak pasti,” katanya ringkas kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu mesej melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan kerajaan negeri akan memanggil kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk sesi Sidang DUN khas pada 24 Jun depan.

Sementara itu, mengulas tentang mesyuarat tersebut, Samsolbari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang memberitahu perbincangan tidak menyentuh isu Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Mesyuarat lebih banyak tertumpu kepada gerak kerja UMNO khususnya di peringkat bahagian untuk menyantuni dan menyelesaikan isu-isu rakyat,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempengerusikan mesyuarat yang berlangsung selama satu jam setengah itu.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen berhubung mesyuarat tersebut, sebaliknya hanya menegur petugas media yang berada di premis berkenaan.

“Tumpang lalu,” katanya.

Antara yang turut hadir termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros.

Desas desus bahawa PRN Johor semakin hampir diadakan susulan pengumuman Onn Hafiz bahawa Barisan Nasional (BN) Johor akan bertanding secara solo dengan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN.

Pada PRN Johor yang diadakan Mac 2022, BN berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah selepas memenangi 40, dengan penggal kerajaan negeri ketika ini dijangka tamat pada April 2027.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN