JOHOR BAHRU: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa tidak mengikuti perkembangan politik bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli yang telah mengambil alih Parti Bersama Malaysia (PBM).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau belum maklum mengenai perkembangan parti baharu yang disertai Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Najmi Nik Ahmad.
“Saya tak follow lagi,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan terkini bekas pemimpin PKR itu selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Rakyat Negeri Johor di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bekas menteri, Mohd. Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan untuk mengambil alih PBM dalam satu majlis khas yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa esok selain keluar PKR berkuat kuasa Selasa, melalui surat kepada Setiausaha Agung parti berkenaan.
Sementara itu, beliau turut memberitahu pihaknya bercadang bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk berunding mengenai keputusan BN Johor bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Saya masih harap, walaupun pengumuman telah dibuat, saya masih harap. Saya akan berjumpa Presiden UMNO, saya (akan) kata rundinglah baik-baik, nak rebut apa.
“Di mana yang silap kita tak tolong. Saya tak berkira, saya tolong semua. Jadi, kalau berebut, di bawah, bergaduh. Apa yang penting ikhtiar tolong rakyat,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memberitahu kerajaan bercadang meningkatkan had kuota petrol bersubsidi BUDI95 kepada 250 liter bagi penghantar makanan p-hailing sekali gus meringankan beban pekerja gig di negara ini.
Katanya, perkara tersebut akan dibincangkan bersama kementerian yang berkaitan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Selasa ini.
“Sebab dia (pemandu p-hailing) dapat 200 liter sama macam kita, RON95 200 liter sahaja. Jadi saya kata, nanti saya peringatkan saudara Fahmi (Datuk Fahmi Fadzil), kita cari jalan sekurang-kurangnya naikkan 50 liter jadi 250 liter,” katanya.
Habis..










