JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) bertekad untuk menguburkan BN buat kali kedua di Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selepas gabungan itu mengumumkan untuk bergerak secara solo.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perkara itu tidak mustahil dilakukan kerana pihaknya pernah memenangi sehingga 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, dahulu.
“BN pernah kalah di Johor dan PH pernah menang 38 kerusi DUN serta mentadbir negeri ini. InshaAllah dalam pilihan raya negeri akan datang kita akan kuburkan mereka untuk kali kedua.
“Kita tidak mungkin menyerah kalah sebelum berjuang. Kita tidak akan mengaku kalah sebelum tumbang,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.
Aminolhuda yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu turut mendakwa tindakan kerajaan negeri mewujudkan jawatan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan sebagai kebimbangan BN hilang sokongan rakyat khususnya di kawasan bandar.
“Ada tujuh DUN di Johor mempunyai lebih 100,000 pengundi, namun kerajaan negeri tidak berani laksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya. Kalau dibuat persempadanan semula, kawasan bandar akan bertambah dan mereka tahu sokongan di kawasan itu banyak memihak kepada PH.
“Sebab itu mereka tidak berani buat persempadanan semula,” katanya.
Semalam, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pihaknya akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor akan datang selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO Johor.









