PETALING JAYA: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu memikirkan strategi menarik sokongan orang Melayu dalam mendepani pilihan raya akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, PH tidak boleh bergantung dengan parti lain termasuk Barisan Nasional (BN).
“Saya rasa itu masalah yang harus diuruskan oleh PH. Bukan DAP sahaja. Jadi, sebaiknya perkara ini diserahkan kepada mereka untuk diuruskan dalam kita hendak berdepan pilihan raya,” katanya.
Sebelum ini, Guan Eng berkata, UMNO dan BN perlu ditolak rakyat pada pilihan raya akan datang susulan percubaan UMNO Negeri Sembilan untuk menggulingkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Jelas Ahli Parlimen Bagan itu, tindakan tersebut membuktikan BN sanggup mengetepikan kepentingan nasional demi manfaat politik peribadi.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kerjasama dengan mana-mana parti politik menuntut kepada keikhlasan yang menjadi antara faktor utama menjamin kestabilan.
“Kalau hendak bekerjasama, janganlah tikam belakang. Ia akan menyusahkan keadaan, bagaimana mahu stabil?
“Yang kedua, perlu saling menghormati. Dan yang ketiga adalah saling percaya. Kalau tiga-tiga pun tidak ada, macam mana?,” soalnya.-UTUSAN.










