JOHOR BAHRU: Konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini esok dijangka akan membincangkan hala tuju kerjasama politik gabungan itu bersama Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya akan datang.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerjasama itu bukan sahaja melibatkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, tetapi juga peringkat persekutuan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, walaupun ada perbezaan pandangan seperti yang berlaku di Negeri Sembilan, tetapi akhirnya kerjasama kerajaan perpaduan kekal selepas isu berbangkit berjaya diurus dengan tertib.
“Semestinya amanat Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan hala tuju bagi mendepani PRN dan juga PRU yang dijangka dalam tempoh setahun atau setahun setengah akan datang.
“Di peringkat persekutuan, kita laksanakan tugas dan tanggungjawab yang menjadi keutamaan antaranya program berteraskan rakyat, subsidi bersasar dan bantuan langsung lain, maka kita juga akan pastikan kerajaan perpaduan di peringkat pusat kekal utuh,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat persiapan akhir Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.
Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR memberitahu, Konvensyen PH esok dijangka akan menghimpunkan seramai lebih 5,000 ahli parti-parti komponen terdiri PKR, DAP dan juga Parti Amanah Negara (Amanah).
“Pada konvensyen ini, akan ada perbahasan serta ucapan daripada Ketua Menteri dan Menteri Besar negeri-negeri pimpinan PH serta kepimpinan semua parti-parti komponen.
“Selesai konvensyen, akan diadakan Ceramah Perdana diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang mana Perdana Menteri dijadualkan berucap pada pukul 5 petang,” katanya.










