Formula perpaduan terbaik untuk UMNO dan PH, zaman parti dominan sudah berlalu - Utusan Malaysia

Formula perpaduan terbaik untuk UMNO dan PH, zaman parti dominan sudah berlalu

Liew Chin Tong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Formula kerajaan perpaduan adalah formula terbaik untuk UMNO dan Pakatan Harapan (PH) menghadapi pilihan raya akan datang susulan ketiadaan parti dominan dalam mana-mana pilihan raya sejak 2018.

Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong bagaimanapun berkata, keikhlasan, persefahaman, dan kerjasama daripada semua pihak terlibat diperlukan untuk menjayakan formula berkenaan.

“Sebenarnya, negara kita tidak lagi ada parti dominan, dan rakyat Malaysia tidak lagi
mengalu-alukan era satu parti yang bersikap dominan. Kini semua parti harus menghayati keputusan rakyat iaitu suara rakyat adalah keramat.

“Mana-mana pihak yang ingin membawa Malaysia kembali kepada era parti dominan iaitu sebuah parti menentukan segala-galanya terutamanya era sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, ia hanyalah langkah yang sia-sia. Rakyat sudah maju ke hadapan, rakyat sudah jalan terus. Zaman parti dominan sudah lama berlalu,” katanya.

Chin Tong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, UMNO dan DAP mempunyai sejarah yang panjang dimana UMNO akan menyambut ulang tahun ke-80, manakala DAP bakal menyambut ulang tahun ke-60, tahun ini.

“Saya ucapkan tahniah atas ulang tahun UMNO ke-80, masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Namun, sebagai pemimpin, kita tidak sepatutnya melihat parti lain mengikut karikatur atau fitnah yang dilemparkan oleh ‘cybertrooper’.

“Seperti pepatah Melayu, musuh jangan dicari, tetapi kalau musuh datang menyerang, pantang kita mengelak. Namun, saya berpandangan adalah lebih baik jika kita semua dapat bekerjasama. Muafakat membawa berkat, sama-sama kita bangunkan negeri dan negara demi kesejahteraan Johor dan Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberi bayangan awal berkemungkinan tidak akan kembali bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Saya sendiri tidak pasti sama ada saya akan kembali atau tidak ke dewan yang mulia ini jika
Dewan Negeri Johor dibubarkan,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) hampir pasti akan bergerak secara solo bagi menghadapi PRU akan datang.

“Selama ini pun memang kita bergerak solo, iaitu pada PRU14 dan PRU15. Dalam keadaan akan datang, hampir pasti kita akan bergerak solo. Namun, kita ambil kira persefahaman dengan parti-parti lain (luar BN) untuk mengelakkan pertindihan kerusi dan pertandingan tiga penjuru,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×