GOMBAK: Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mendesak supaya Pas mempercepatkan pelantikan Ketua Pembangkang bagi menggantikan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang meletakkan jawatannya pada 11 April lalu.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, keputusan untuk mencadangkan nama seorang Ahli Parlimen Pas bagi menyandang jawatan itu sudah dipersetujui dalam Mesyuarat Tertinggi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
“Jadi sebagaimana yang saya sebutkan dahulu, kita minta ia disegerakan. Kita tunggu bila Pas sudah memilih dan nama itu akan terima untuk dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat maka jawatan itu (Ketua Pembangkang) akan dipenuhkan oleh PN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Silaturahim Aidilfitri Gombak anjuran Bersatu Gombak di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Bersatu kecewa dengan Majlis Tertinggi PN kerana sehingga kini masih belum membuat pelantikan Ketua Pembangkang baharu.
Muhyiddin berkata, walaupun beliau sudah menghantar surat cadangan pelantikan jawatan itu sebelum ini, sehingga kini belum ada tindakan diambil.
Media melaporkan, Pas kekal dengan pendirian bahawa pelantikan Ketua Pembangkang baharu memerlukan penelitian dan tidak perlu dibuat tergesa-gesa, walaupun ada suara dalam PN mahu ia dilakukan segera.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pelantikan tidak boleh dibuat melulu kerana ia bukan sahaja membabitkan parti itu tetapi semua parti komponen serta Ahli Parlimen dalam blok pembangkang.
Ditanya mengenai siapa calon Pas untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang, Muhyiddin dalam pada itu berkata, Bersatu menerima siapa saja calon yang dinamakan oleh Pas.
“Kita sebagai anggota dalam PN, semua bersetuju (calon) yang akan datang daripada Pas. Kalau Pas calonkan A, kita akan setuju A dan kalau B maka B lah.
“Bersatu tidak ada (berpihak mana-mana calon). Kita serah pada Pas dan itu dah diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN. Siapa yang dicalonkan, kita terima saja,” katanya. – UTUSAN










