PETALING JAYA: Kemelut melanda Perikatan Nasional (PN) termasuk pergolakan dalaman Bersatu menyebabkan rakyat risau dan resah ketika negara berdepan pelbagai isu ketika ini.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, cerita kemelut dalam PN yang dianggotai PAS, Bersatu, Gerakan dan MIPP sering dilihat kebelakangan ini.
“PAS dengan Bersatu nampak macam tidak sehaluan..dalaman Bersatu pun bergolak.
“Rakyat resah, kita semua termasuk kami di Pejuang, sedih dan risau bila tengok PN dalam keadaan macam itu,” kata dalam sebuah video yang dimuat naik di Facebook di sini hari ini.
Mukhriz yang juga bekas timbalan presiden Bersatu mendakwa, krisis itu berlaku ketika negara berdepan isu kritikal antaranya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat, salah guna kuasa serta rasuah dan cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar.
Katanya, rakyat memerlukan tempat bergantung dan menyelamatkan negara dalam berdepan situasi yang didakwanya sebagai kelam-kabut.
“Walaupun PN tengah bergelut dengan masalah sendiri, dengan sokongan dari payung besar Melayu dan rakan-rakan pelbagai kaum, Pejuang yakin kita semua masih mampu menyelamatkan keadaan,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru semua pihak yang masih menyimpan rasa cinta terhadap negara supaya mengetepikan segala perbezaan.
“Jangan biarkan sengketa membutakan kita daripada musuh sebenar.Pasanglah niat yang tulus ikhlas untuk bersama-sama membetulkan apa yang dirosakkan kerajaan sekarang ini,” katanya.
Media melaporkan Hamzah akan menyertai parti lain atau ‘rumah baharu’ pada minggu depan bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu yang didakwa menyokongnya. – UTUSAN










