KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa dipaksa menandatangani lebih 10 watikah kosong pencalonan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Muhammad Hilman Idham berkata, perkara yang berlaku itu juga menjadi antara punca perpecahan sehingga berlakunya pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru ini.
“Sebab itu saya selalu sebut, dalam parti kita perlu menjadi satu pasukan. Apa pun yang berlaku, kita perlu kembali kepada parti, itu adalah disiplin organisasi.
“Tetapi apa yang berlaku, ada yang mengambil sikap seperti operator, runding sana, runding sini, namun tidak dilaporkan atas alasan sensitif ekoran risau berlaku kebocoran.
“Bagaimana kita boleh menaruh prasangka yang begitu? Kalau takut bocor, kenapa tidak dilaporkan kepada Biro Politik atau secara terus kepada Presiden?” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Muhammad Hilman lagi, segala perancangan oleh Hamzah dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee selaku Pengerusi Bersatu Sabah tidak seperti yang dimaklumkan di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
“Hamzah dalam mesyuarat MPT menjelaskan kita sedang berunding dengan STAR, tetapi kita tidak boleh umumkan dulu kerana terlalu sensitif. Dikatakan juga pengumuman akan dibuat seminggu selepas penamaan calon. Namun tidak ada.
“Sebaliknya semasa PRN, kita meletakkan calon di kawasan yang sama dengan STAR menyebabkan berlaku pertindihan dan akhirnya kita kalah teruk. Di pihak Ronald pula, bila diminta adakan post moterm, mereka senyap sehingga ke hari ini,” katanya.
Dakwa Hilman lagi, keputusan Ronald mahu Perikatan Nasional (PN) bertanding di 41 kerusi berbanding 15 kerusi yang dicadangkan pada asalnya hanyalah bagi memenuhi permintaan penyokong-penyokongnya sahaja.
“Ronald seorang yang sanggup melihat kekalahan parti asalkan tidak hilang sokongan terhadapnya di Sabah,” katanya.
Berikutan itu, katanya, parti telah membuat keputusan tepat dengan memecat ‘lalang’ bagi memperkukuhkan semula Bersatu dalam berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. – UTUSAN











