Kenyataan Mursyidul Am Pas ditarik balik - Utusan Malaysia

Kenyataan Mursyidul Am Pas ditarik balik

pas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berhubung keputusan Majlis Syura Ulama yang menerima kembali tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang dilucut keahlian, ditarik balik.

Berdasarkan pemeriksaan Utusan Malaysia di Facebook milik Mursyidul Am Pas itu, kenyataan tersebut sudah tidak boleh diakses buat masa ini.

Bagaimanapun, Hashim melalui laman sosial TikTok miliknya menjelaskan bahawa Majlis Syura Ulama telah menerima rayuan yang dihantar oleh ketiga-tiga ADUN tersebut dan akan dibawa untuk dibincangkan di peringkat Pas Pusat.

Dalam pada itu, menurut Ahli Majlis Syura Ulama, Datuk Ahmad Yahaya, Majlis Syura Ulama menerima borang permohonan keahlian baharu dikemukakan tiga bekas ADUN parti itu yang dihentikan keahlian masing-masing susulan kemelut politik Perlis sebelum ini.

Beliau memaklumkan permohonan itu akan diserahkan kepada pejabat Setiausaha Agung untuk pertimbangan Pas Pusat.

“Keputusan berkaitan rayuan tiga mantan ADUN Perlis ialah Majlis Syura Ulama menolak daripada membuat keputusan atas nama rayuan sebab ia bukan dalam bidang kuasa Majlis Syura Ulama.

“Menerima borang permohonan ahli baharu Pas dari tiga mantan ADUN tersebut dan diserah kepada Setiausaha Agung Pas untuk pertimbangan Pas Pusat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Terdahulu, Mursyidul Am Pas berkongsikan kenyataannya berhubung rayuan tiga bekas ADUN Pas Perlis yang digugurkan keahliannya selepas ia dibincangkan di dalam Majlis Syura Ulama pada 27 Januari lalu.

Ketiga-tiga ADUN tersebut ialah Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd. Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji).

Katanya, Mesyuarat Majlis Syura Ulama menerima rayuan yang dikemukakan ketiga-tiga mereka berdasarkan enam faktor termasuk prinsip al-Quran, manhaj Nabi Muhammad SAW dan kaedah Fiqh.

“Perintah al-Quran ialah ukhuwah dan persaudaraan, bukannya menghentikan ahli tanpa kasih sayang. Rahmat Allah dan islah diutamakan, bukan menyemarakkan nafsu amarah dalam jamaah.

“Manhaj Nabi Muhammad SAW dalam hukuman adalah mendahulukan taubat, membuka pintu kemaafan dan bukan tergesa-gesa menghukum seperti hadith al-Ghamidiyyah dan Juhainah.

“Kaedah Fiqh menyebutkan kemudaratan hendaklah dihilangkan. Apabila tiga kawasan DUN tiada wakil rakyat berfungsi, maka terhasillah kemudaratan awam yang jelas. Kebajikan rakyat tidak boleh dikorbankan demi ketegasan pentadbiran parti,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, antara faktor lain dipertimbangkan adalah siasah syar‘iyyah yang matlamatnya adalah menjaga kesatuan saf, memelihara kepercayaan dalaman serta mengurus khilaf tanpa memusnahkan jamaah.

Katanya, rakyat pula tidak boleh menjadi mangsa konflik dalaman parti.

“Pas adalah jamaah Islam yang memperuntukkan kuasa yang besar kepada Majlis Syura Ulama dan Mursyidul Am dalam Perlembagaan untuk memelihara Perlembagaan supaya dasar Pas dipatuhi dalam kegiatan dan pentadbiran Pas.

“Majlis Syura Ulama perlu membawa watak adil, pendamai dan pemaaf dalam menyatukan ahli Pas yang berpecah, khasnya di Perlis supaya tidak berterusan, ulama tidak boleh menambah api permusuhan yang marak menyala,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN