PETALING JAYA: Keputusan sama ada peletakan jawatan Datuk Dr. Mohamad Akmal Saleh sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka diterima atau tidak akan diteliti terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, beliau bagaimanapun tetap menghormati keputusan Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO dengan menyifatkan ia sebagai satu tindakan yang selari dengan peranannya sebagai Ketua Pemuda.
“Saya hormat keputusan Muhamad Akmal kerana beliau ‘berkarya’ cara Pemuda UMNO. Saya akan teliti dan menilai daripada pelbagai sudut bagaiman mahu uruskan isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari hari ini.
Mohamad Akmal hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin itu berkata, peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang disandang sejak April 2023 itu akan berkuat kuasa pada minggu depan.
Mengumumkan keputusan itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini, beliau menjelaskan akan kekal dengan jawatan Ketua Pemuda pergerakan berkenaan.
Dr Akmal berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ab Rauf selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka. – UTUSAN










