Kemelut PN hakis keyakinan rakyat

Kemelut PN hakis keyakinan rakyat

DAKWAAN bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad adalah cuba untuk mengalihkan perhatian dari punca sebenar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemelut pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bukan hanya mencerminkan krisis dalaman gabungan itu, malah mula menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk mentadbir negara.

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersilan) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, krisis yang berlarutan hampir sebulan itu memberi isyarat jelas tentang kelemahan struktur kepemimpinan dalam gabungan berkenaan.

Katanya, kegagalan mencapai persetujuan dalam tempoh yang panjang menunjukkan PN masih belum mampu mengurus organisasi sendiri dengan baik apatah lagi memikul tanggungjawab mentadbir negara.

“Kemelut pelantikan Pengerusi PN berisiko tinggi menghakis kepercayaan rakyat khususnya dalam kalangan pengundi atas pagar yang mengharapkan kestabilan politik.

“Kelewatan mencapai kata sepakat mencerminkan kerapuhan kepemimpinan yang menunjukkan kegagalan mengurus organisasi sendiri sebelum mengurus negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, keretakan dalam PN tidak mampu lagi disorokkan oleh Pas atau Bersatu susulan kebuntuan hampir sebulan dalam urusan pelantikan Pengerusi yang baharu.

Pemimpin kedua-dua parti tidak lagi dilihat berselindung untuk menyindir sesama sendiri, semuanya dilakukan secara terbuka seolah-olah melambangkan hayat gabungan itu tidak akan bertahan lama, selain peranan Bersatu kian disisihkan.

Mengulas lanjut, Syahruddin berkata, pertelingkahan terbuka antara pemimpin Pas dan Bersatu turut menjejaskan imej kesepaduan gabungan yang selama ini dipromosikan kepada rakyat.

Katanya, keadaan itu menyebabkan PN dilihat semakin rapuh serta lebih dipengaruhi persaingan kuasa berbanding perpaduan politik yang kukuh.

“Apabila pemimpin Pas dan Bersatu mula menyindir secara terbuka, imej kesepaduan ‘Blok Melayu Islam’ akan tercalar sehingga rakyat melihat gabungan ini sebagai rapuh dan berasaskan kepentingan kuasa semata-mata.

“Ketidaktentuan ini mendorong sebahagian penyokong mencari alternatif lain yang lebih konsisten, sekali gus mengurangkan momentum sokongan yang pernah dicapai sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik, Dr. Azmi Hassan berkata, PN berdepan ancaman perpecahan yang lebih serius apabila krisis dalaman Bersatu sendiri dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang merosakkan kekuatan gabungan pembangkang itu.

Katanya, kewujudan beberapa kem dalam parti berkenaan menjadi punca kepada perpecahan sekali gus melemahkan struktur PN secara keseluruhan.

“Dalam Bersatu wujud kem lain selain yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan inilah yang menjadi punca besar kepada perpecahan dalaman parti itu.

“Kem tersebut dikatakan bekerjasama dengan Pas sehingga merosakkan struktur serta melemahkan kekuatan PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×