MELAKA: DAP tidak sama sekali akan tunduk dengan sebarang provokasi yang mendesak parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Menegaskan perkara tersebut, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, hala tuju hanya ditentukan oleh pucuk pimpinan dan akar umbi parti itu dan tidak sama sekali terikut rentak orang lain.
Menurutnya, DAP sama sekali tidak akan tunduk dengan sebarang desakan kerana keputusan yang akan diambil adalah yang terbaik untuk parti dan pengundi-pengundi yang diwakili.
“Saya minta ahli parti jangan terpengaruh atau tunduk dengan sebarang provokasi. Kita bukan takut dicabar dan kita tidak pernah takut dicabar. Kita pantang dicabar tetapi kita juga jangan mudah untuk diprovokasi.
“Kita akan buat keputusan kita sendiri, tidak payah orang lain beritahu kita apa yang kita kena buat. Apa yang seharusnya kita buat ditentukan oleh kita sendiri, bukan oleh orang lain,” ujarnya berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka kali ke-25 di sini, semalam.
Beliau berkata demikian merujuk kepada ucapan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mendesak DAP meletak jawatan kerajaan bermula di Melaka pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam.
Sementara itu Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dalam sidang akhbar mempersoalkan siapa Akmal Saleh untuk mendesak meletakkan jawatan Exco di Melaka.
“Saya hendak tegaskan di sini. Itu budak Jasin sejak awal lagi apabila penubuhan Kerajaan Perpaduan, dia hendak jatuhkan kerajaan yang ada ini,” ujarnya.
Tegas Ahli Parlimen Kota Melaka itu, DAP tidak sama sekali akan terikut rentak dan desakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.
“Parti kita ada pendirian dan kita akan buat keputusan kita sendiri. Kita yang akan tentukan pendirian daripada konvensyen hari ini,” ujarnya.
Jelasnya, seorang wakil daripada parti itu menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka atas semangat Kerajaan Perpaduan yang dibentuk.
Katanya, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mempelawa supaya DAP menghantar seorang wakil bagi menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri atas semangat pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Jadi atas semangat itu, DAP di Melaka menerimanya namun siapa Akmal Saleh hendak menentukan kedudukan DAP,” ujarnya. – UTUSAN










