KUALA LUMPUR: Pas mengesahkan calon Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak semestinya presiden parti.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pencalonan itu sudah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa kerja Pas Pusat dan Jawatankuasa Harian Pas Pusat.
“Ia bukan Presiden Pas,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Pas, di sini semalam.
Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi calon pengganti dengan antara nama disebut adalah Abdul Hadi sendiri dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Namun, ketika ditanya mengenai perkara itu, Takiyuddin enggan mengulas lanjut.
“Sesiapa sahaja yang diputuskan oleh Pas akan dibawa. Kalau ada yang diumumkan sebelum itu atau apa pun, ia terpulang kepada prerogatif Presiden,” katanya.
Bagaimanapun, perkara itu akan dimaklumkan sebaik sahaja perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN disahkan.
Sementara itu, PN akan mengadakan mesyuarat luar biasa pada Khamis ini bagi tujuan melantik pengerusi baharu ekoran keputusan Pengerusi Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebelum ini.
Takiyuddin berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi PN itu akan berlangsung pada pukul 8.30 malam di ibu pejabat Parti Gerakan di Cheras.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan diadakan selepas surat permohonan daripada Presiden Gerakan dan Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, masing-masing bertarikh 7 dan 10 Januari.
“Mesyuarat dipanggil selaras dengan perlembagaan PN, yang membenarkan Majlis Tertinggi (MT) bersidang atas permintaan bertulis sekurang-kurangnya separuh daripada parti komponen gabungan,” katanya. – UTUSAN










