Belum ada tarikh mesyuarat lantik Pengerusi PN – Pas

Belum ada tarikh mesyuarat lantik Pengerusi PN – Pas

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tarikh mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) masih belum dimuktamadkan sehingga kini, meskipun hampir dua minggu berlalu sejak peletakan jawatan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keadaan itu terus menimbulkan tanda tanya apabila Pas dilaporkan bersedia menerajui PN namun hala tuju kepemimpinan gabungan tersebut masih belum diperincikan secara rasmi.

Malah, setakat ini Pas masih belum mendedahkan calon yang akan dicadangkan bagi mengisi jawatan Pengerusi PN sekiranya parti itu diberi mandat untuk menerajui gabungan berkenaan.

Dalam pada itu, nama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas, turut disebut-sebut sebagai antara tokoh berpotensi memperkukuh PN dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung dalam tempoh kurang dua tahun.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan mesyuarat itu akan diadakan dalam masa terdekat, namun tarikh pelaksanaannya masih belum diputuskan.

“Insya-Allah mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat, namun belum diputuskan lagi tarikhnya,” katanya ringkas.

Pada 30 Disember 2025, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari.

Susulan pengumuman tersebut, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendesak supaya satu mesyuarat tergempar diadakan segera bagi membolehkan perkara berkenaan dibincangkan secara rasmi dalam gabungan itu.

Selain itu, Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, turut menyatakan kesediaan parti itu untuk menerajui PN sebagai langkah awal persediaan menghadapi PRU16.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, kelewatan mengumumkan tarikh mesyuarat berkenaan seolah-olah menggambarkan wujudnya satu komplot dalaman yang mungkin tidak memihak kepada Pas.

Malah, beliau berkata, terdapat juga kemungkinan wujud presiden parti lain dalam gabungan itu yang tidak bersedia untuk memberi ruang kepada Pas untuk menerajui PN.

“Kita sedia maklum bahawa Pas sepatutnya mengambil alih jawatan pengerusi kerana merekalah yang mendesak sehingga Muhyiddin meletakkan jawatan.

“Namun, nampaknya masih terdapat pihak-pihak tertentu yang tidak mempunyai keyakinan bahawa Pas mampu mengemudi PN,” katanya.

Menurut Azmi, kebimbangan itu mungkin timbul susulan pendirian Pas yang dilihat lebih ekstrem dan sebelum ini kurang membantu dalam menetapkan hala tuju gabungan berkenaan.

“Sekiranya Pas menjadi pengerusi, strategi PN dijangka akan banyak dipengaruhi oleh parti tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa gabungan itu akan dilihat sinonim sepenuhnya dengan Pas.

“Disebabkan itu, saya melihat seolah-olah terdapat syarat-syarat tertentu yang sengaja dikenakan oleh parti-parti lain terhadap Pas, yang mencerminkan rasa kurang senang sekiranya parti itu mengambil alih jawatan pengerusi PN,” katanya.

Sementara itu, pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam, Muhyiddin memaklumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN akan dibincangkan dan diputuskan secara muktamad pada mesyuarat kelak.

Beliau turut memaklumkan setakat ini masih belum menerima sebarang pencalonan rasmi daripada Pas bagi mengisi jawatan Pengerusi PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN