SEREMBAN: Keputusan pelantikan dua senator dari negeri ini adalah hasil perbincangan teliti dan persetujuan bersama antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelantikan itu juga melalui undian kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini daripada kedua-dua parti itu.
“Ini adalah budaya musyawarah yang menjadi asas Kerajaan Perpaduan bagi memastikan setiap langkah diambil dengan penuh keadilan dan rasa tanggungjawab. Jadi, teguran Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) adalah perkara biasa dalam politik.
“Bagi kami itu adat. Yang penting, keputusan pelantikan senator bukan dibuat oleh saya ataupun Datuk Seri Jalaludin (Alias) tetapi oleh kepemimpinan parti dan telah mendapat persetujuan ketua kedua-dua parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 hari ini.
Sebelum ini media melaporkan kekecewaan ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap pembahagian jawatan politik di Negeri Sembilan termasuk pelantikan dua senator dari PH yang didakwa tidak selaras dengan semangat kerjasama di peringkat Persekutuan.
Dalam perkembangan lain, Belanjawan Negeri Sembilan 2026 yang dibentangkan pada 5 Disember lalu diluluskan sebulat suara hari ini.
Belanjawan Negeri Sembilan 2026 yang bertemakan Belanjawan Madani, Rakyat Harmoni itu merupakan belanjawan defisit sebanyak RM 30 juta dengan belanja mengurus pada tahun hadapan adalah sebanyak RM640 juta berbanding anggaran hasil berjumlah RM 610 juta. – UTUSAN










