BN-PKR bertembung di Karamunting?

BN-PKR bertembung di Karamunting?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting, Sandakan dijangka menjadi antara medan perebutan paling hangat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang apabila PKR dan Barisan Nasional (BN) dikatakan bertembung di kawasan sama.

Difahamkan, PKR Sabah ber­hasrat meletakkan calon di Karamunting sebagai sebahagian daripada rundingan pembahagian kerusi menje­lang tarikh penamaan pada 15 November ini.

Namun pada masa sama, MCA yang merupakan komponen BN turut menuntut kerusi tersebut dan tetap ber­keras bertanding di kawasan berkenaan.

Menurut sumber, BN pada ketika ini berdepan dilema besar kerana jika gagal menunaikan tuntutan MCA, dikhuatiri langkah itu boleh menyebabkan parti komponen tersebut keluar daripada gabungan berkenaan.

“Jika MCA tidak diberi laluan untuk bertanding di kawasan itu, mereka akan menggunakan alasan di mana BN tidak mempertahankan MCA. Jadi, mereka mungkin akan keluar daripada gabungan BN itu sendiri.

“Jika ia berlaku, BN tidak akan dapat bertanding dalam PRN kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Katanya, keadaan tersebut membuka kemungkinan berlakunya pertembungan tiga penjuru membabitkan BN, PKR dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini mahu mempertahankan kerusi ber­kenaan.

Menurut sumber, jika ke­adaan itu berlaku, ini bermakna BN dan PH telah melanggar janji yang dirunding sebelum ini untuk tidak bertembung sesama sendiri bagi meningkatkan potensi kemenangan mereka pada PRN Sabah kali ini.

Pada PRN sebelum ini, DUN Karamunting dimenangi Datuk George Hiew Vun Zin atas tiket Parti Warisan sebelum bertindak keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Karamunting terletak di kawasan Sandakan, kini muncul sebagai antara kerusi panas yang bakal menguji kesepa­duan pakatan politik menjelang PRN Sabah.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengesahkan tiada pertembungan kerusi BN dengan PH walaupun masih terdapat perbincangan dalaman berkenaan kerusi yang akan ditandingi.

Meskipun GRS mempunyai kerjasama rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat kerajaan negeri, namun tidak dengan BN walaupun bersama di Pusat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN