KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Sabah akan memuktamadkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi serta senarai calonnya hari ini (8 November), menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, hampir semua keputusan telah dimuktamadkan kecuali tiga kerusi yang masih dinilai daripada segi potensi kemenangan dan kesesuaian calon.
“Secara keseluruhannya sudah selesai, cuma ada tiga kerusi yang masih dalam pertimbangan sama ada BN akan bertanding atau tidak.
“Tiga kerusi itu melibatkan kawasan yang PKR tidak boleh masuk kerana ditandingi Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, katanya lagi, BN turut mengurangkan jumlah kerusi yang mahu ditandingi berbanding sasaran awal sebanyak 48 kerusi.
Katanya, ia selaras dengan perjanjian awal bersama PKR di bawah Kerajaan Perpaduan bagi mengelak pertindihan calon.
“Ada beberapa kerusi PKR ingin tandingi, dan kami akan beri laluan seperti yang dipersetujui. Sebab itu jumlah kerusi BN mungkin sedikit menyusut daripada sasaran asal,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan tiada pertembungan kerusi BN dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Sabah.
Katanya, walaupun masih terdapat perbincangan dalam BN sendiri berkenaan kerusiyang akan ditandingi, pertembungan pasti tidak akan berlaku antara dua parti yang menganggotai kerajaan Madani.
Bung Moktar pada masa sama turut memaklumkan, BN bakal membuat pelancaran jentera di Sabah pada 9 November ini, pengumuman calon 10 November. – UTUSAN










