Pandang serius 120 SD ketua bahagian

Pandang serius 120 SD ketua bahagian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sokongan daripada 120 ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menandatangani akuan berkanun (SD) mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan Presiden parti tidak boleh dipandang remeh.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, perkembangan itu menunjukkan wujud suara akar umbi yang semakin kuat menuntut perubahan dalam kepemimpinan parti tersebut.

Katanya, walaupun ketika ini Muhyiddin dilihat masih menguasai parti, tanda-tanda penolakan dalaman semakin ketara susulan tindakan beberapa pemimpin utama yang dikenakan tindakan disiplin.

“Pemecatan Datuk Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bukan perkara kecil kerana kedua-duanya merupakan individu berpengaruh dalam Bersatu.

“Lebih membimbangkan apabila mereka kini lantang mengkritik kepemimpinan Muhyiddin termasuk kenyataan Wan Fayhsal yang menyifatkan beliau gagal atas nama ‘Abah’,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut Mazlan, langkah segera perlu diambil bagi meredakan ketegangan dan mengelakkan perpecahan terbuka dalam parti, terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir.

“Bersatu tidak boleh memasuki gelanggang pilihan raya dalam keadaan berpecah. Kepemimpinan tertinggi perlu duduk semeja dengan kumpulan yang menentang Muhyiddin untuk mencari jalan penyelesaian secara rundingan.

“Jika keadaan dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian dalaman, bukan sahaja akan menjejaskan imej parti, malah boleh menurunkan prestasi Bersatu dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Tambah beliau, desakan sebahagian besar ketua bahagian agar Muhyiddin berundur menggambarkan beliau tidak lagi sepopular dahulu dalam kalangan akar umbi.

“Jika pemilihan parti diadakan, belum tentu kedudukan beliau sebagai Presiden dapat dikekalkan.

“Justeru, lebih baik isu itu diselesaikan secara perbincangan sebelum ia menjadi lebih parah,” katanya.

Pada Selasa lalu, Wan Ahmad Fayhsal mendedahkan beliau pernah menegur Muhyiddin secara dalaman susulan kekalahan besar Bersatu pada PRN Melaka dan Johor.

Katanya, teguran itu dibuat dalam mesyuarat parti selepas mendapati pendekatan kempen yang digunakan ketika itu terlalu tertumpu kepada imej peribadi Muhyiddin dan tidak sesuai dengan sentimen pengundi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×