SHAH ALAM: “Saya tidak terganggu dengan apa yang berlaku dan akan terus galas tanggungjawab sebagai Presiden.”
Demikian kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan insiden kekecohan ketika beliau menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu di sini, malam tadi.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau mendakwa tidak mengetahui apa yang berlaku.
“Saya tidak berapa pasti. Saya (pada waktu itu) di atas pentas tengah fokus (menyampaikan) ucapan saya. Saya akan terus memikul tanggungjawab sebagai Presiden parti dan mengetuai Perikatan Nasional (PN).
“Jadi sebab itu, saya tak terganggu dengan apa yang berlaku,” katanya pada sidang akhbar, malam tadi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan suasana PAT Bersatu Kelapan 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) itu bertukar kecoh apabila berlaku insiden provokasi oleh beberapa individu.
Insiden kira-kira pukul 10.20 malam itu berlaku ketika Muhyiddin memaklumkan terdapat individu cuba kutip tanda tangan bagi menjatuhkan Presiden ketika menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan perhimpunan berkenaan.
Bagaimanapun, beberapa individu kemudian melaungkan jeritan ‘tidak benar’ dan ‘turun Tan Sri’ sehingga menyebabkan dewan bertukar kecoh, namun beliau kekal tenang meneruskan ucapan dan keadaan kembali terkawal tidak lama kemudian.
Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu, pihaknya akan mendapatkan laporan daripada petugas keselamatan mengenai insiden itu bagi tindakan selanjutnya.
“Kita akan mendapatan laporan daripada pegawai kita. Sama ada perkara itu melibatkan perwakilan atau tidak, saya tidak pasti. Saya bersyukur ia tidak menjejaskan ucapan saya sehingga selesai dan majlis berjalan dengan licin dan baik,” ujarnya.
Ditanya sama ada beliau mempunyai cukup sokongan kekal menerajui Bersatu, Muhyiddin berkata, ketetapan itu tertakluk kepada perlembagaan parti.
“Saya dipilih secara demokrasi sejak tahun lalu dan penggal saya selama tiga tahun. Jika ada sebarang perubahan, ia perlu dibuat melalui proses perlembagaan,” jelasnya.
Malah, beliau turut menafikan wujud dua kem dalam parti berkenaan ketika ini
“Tidak ada kem dalam Bersatu. Kita ini hanya satu, tak ada kem A, B atau pun C,” tambahnya. – UTUSAN










