Pas terdesak ubah pendekatan fokus kaum India - Ramanan

Pas terdesak ubah pendekatan fokus kaum India – Ramanan

Pas India
R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pas dianggap terdesak mengubah pendekatan memfokuskan kepada semua kaum termasuk India yang sudah pun digagaskan dalam visi Malaysia Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan berkata, pentadbiran kerajaan ketika ini bersifat inklusif tanpa meminggirkan mana-mana kaum atau golongan.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, ia antara faktor utama Pas yang tidak pernah menyebut soal komuniti atau mendekati kaum India mengubah pendekatannya.

“Masa kecil dulu, saya dengar dia (Pas) cakap pasal hudud. Sekarang sudah berhenti cakap pasal hudud, mula cakap kita kena jaga komuniti India.

“Kita mahu cari rakan parti pimpinan komuniti India. Kenapa? Sebab ini kekuatan Madani iaitu visi semua golongan kaum bersatu padu termasuk Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan Iban,” katanya selepas merasmikan majlis Taklimat Pembudayaan Koperasi Dan Usahawan Selangor, hari ini.

Beliau mengulas pendekatan Pas yang semakin berubah termasuk mendekati kaum India selain pemimpinnya bersetuju tidak menggunakan perkataan ‘kafir’.

Utusan Malaysia pada Isnin lalu melaporkan ahli-ahli Pas termasuk pemimpinnya diminta mengelak penggunaan perkataan seperti kafir dan ‘pendatang’ kerana ia boleh menyinggung perasaan bukan Islam.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Selangor, K. Deepakaran menyifatkan wujud segelintir kecil ahli Pas menggunakan istilah sebegitu walaupun jelas membawa kesan negatif terhadap usaha merapatkan hubungan antara parti itu dengan masyarakat bukan Islam.

Mengulas lanjut, jelas Ramanan, parti politik yang mahu kekal relevan dalam landskap politik negara perlu mengamalkan visi Madani yang berteraskan perpaduan.

“Kalau tak ikut arus ini, mereka akan ketinggalan dan Pas pun kena ikut sekarang. Suka tak suka.

“Saya fikir memang terdesak sebab buat masa ini memang kalau kita lihat, ada banyak isu berlaku dalam atmosfera politik. Kalau kita lihat, banyak yang Pas tengah cari sekarang termasuk rakan-rakan India,” jelasnya.

Ditanya sama ada ia mempunyai kaitan dengan kenyataan Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran yang tidak menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tak mahu komen pasal mana-mana yang menunjukkan spesifik. Terbuktilah apa yang saya kata, sekarang kalau kita tengok, bukan ahli parlimen yang melompat.

“Bukan mana-mana seorang pihak yang melompat. Sekarang sudah jadi parti pula nak melompat. Itu situasinya. Terbukti visi Madani berjaya dan rakyat mahukan pendekatan sebegini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×