PETALING JAYA: Ketua PKR Cabang Shah Alam, Najwan Halimi kini menjadi mangsa terbaharu ugutan yang membabitkan kandungan pornografi dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor mendedahkan menerima e-mel berbaur ugutan daripada satu akaun tidak dikenali yang memaparkan tangkap layar video yang disunting menerusi teknologi AI dengan memaparkan gambar wajahnya.
Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, beliau percaya individu di sebalik ancaman itu menggunakan modus operandi sama seperti kes membabitkan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Menurutnya, dalam e-mel yang diterima, beliau turut diugut supaya membayar wang sebanyak AS$100,000 sebagai timbal balas bagi mengelakkan penyebaran video.
“Saya ingin menegaskan bahawa ugutan seumpama ini adalah satu perbuatan jenayah yang sangat serius serta bertujuan mengancam keselamatan dan menjatuhkan maruah saya.
“Saya telah membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar siasatan lanjut dijalankan berhubung penyalahgunaan teknologi AI serta cubaan menyebarkan fitnah menerusi penyebaran video pornografi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Najwan berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan berhubung ugutan di sebalik e-mel itu dan meminta masyarakat supaya berwaspada dengan sebarang bentuk penipuan atau ugutan melalui internet.
“Penyebaran kandungan palsu dan fitnah sebegini bukan sahaja mencemarkan maruah individu bahkan turut mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat,” katanya.
Semalam, Rafizi mendedahkan beliau menjadi sasaran cubaan pemerasan melalui video lucah palsu dihasilkan menggunakan AI, dengan tuntutan bayaran mencecah AS$100,000.
Rafizi berkata, beliau menjadi mangsa ugutan berkaitan video seks selepas menerima e-mel disertakan klip didakwa menunjukkannya bersama seorang lelaki.
Katanya, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen juga memaklumkan turut menerima e-mel ugutan yang sama. – UTUSAN










