Ada penyakit kronik dalam Bersatu perlu diselesaikan - Dr Marzuki Mohamad

Ada penyakit kronik dalam Bersatu perlu diselesaikan – Dr Marzuki Mohamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya segera menyelesaikan ‘penyakit kronik’ yang melanda parti itu bagi mengelakkan ia terus melarat dan menjejaskan kekuatan parti itu.

Perkara itu didedahkan Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa terdapat penyakit kronik sedang melanda Bersatu.

Menurut Datuk Dr Marzuki Mohamad, meskipun Bersatu kini memiliki lebih 90 wakil rakyat, parti itu masih berdepan perbalahan dalam mempertahankan keputusan pimpinan tertinggi.

“Sekarang Bersatu ada lebih 90 wakil rakyat. Tapi berbalah dalam hal mempertahankan keputusan PAT (Pimpinan Atasan Tertinggi). Ada penyakit kronik yang sedang melanda Bersatu. Jika masalah itu tidak ditangani, ia akan melarat.

“Penyakit ini mungkin kena pada seorang dua saja. Tapi kalau tak dicari ubat, nanti melarat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran sama, Marzuki turut mendedahkan apa yang berlaku dalam Bersatu semasa mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh (PM7) sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Beliau berkata, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu ketika itu, ada pandangan bahawa Tan Sri Muhyiddin layak menjadi Perdana Menteri.

Namun, demi menjaga keharmonian dalaman parti dan memastikan keputusan yang padu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN tampil mencadangkan agar Tun Dr Mahathir dicalonkan sebagai PM7.

“Mereka tak bercakap sokong TSMY(Muhyiddin) sebab takut Tun terasa hati. Mereka juga tak bercakap sokong Tun takut TSMY terasa hati. Akhirnya TSMY sendiri yang bercakap sokong Tun M dan MPT buat keputusan mencalonkan Tun M sebagai PM7,” katanya.

Katanya, ketika itu, Dr Mahathir turut hadir ke Kongres Nasional PKR, di mana perwakilan parti itu mengangkat plakad menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM7, meskipun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu masih berada dalam penjara.

Dr Mahathir tidak mengangkat plakad terbabit, namun merakam suasana menggunakan telefon bimbit, tambah Marzuki.

“Saya jumpa Lim Kit Siang, dia beritahu DAP tetap mencalonkan Anwar sebagai PM, bukan orang lain. Itu dasar DAP. Kemudian hal pencalonan PM7 dibawa ke Majlis Presiden PH. TSMY sekali lagi antara yang kuat mempertahankan keputusan MPT BERSATU mencalonkan Tun M sebagai PM7.

“Akhirnya selepas beberapa siri rundingan, Tun M dicalonkan sebagai PM7 dan DS Wan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) sebagai TPM (Timbalan Perdana Menteri). PH menang PRU14 dan jadilah Tun M PM bagi kali kedua.

“Ketika itu, saya tak dengar seorang pun ahli Bersatu yang kata keputusan MPT Bersatu mencalonkan Tun M sebagai PM7 salah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN