PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak melihat Himpunan Turun Anwar berlangsung di ibu negara semalam sebagai ancaman, sebaliknya lambang perubahan budaya politik negara yang sebelum ini dibelenggu pemerintahan kuku besi.
Pengarah Komunikasi PKR, Adam Adli Abdul Halim berkata, perbezaan pandangan dalam sistem demokrasi bukan sahaja perlu diraikan, malah kedua-dua suara sama ada menyokong atau menentang adalah penting dan wajar dilindungi.
Katanya, perhimpunan aman yang berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini merupakan bukti nyata kemampuan Kerajaan Madani dalam memelihara ruang demokrasi yang terbuka dan matang.
“Pembangkang dan penyokong mereka dibenarkan berhimpun secara aman di ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan. Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar.
“Kerajaan membuktikan kemampuan untuk menjamin ruang bersuara yang adil dan bebas. Persoalannya, mampukah pembangkang melakukan perkara yang sama?
“Mahukah mereka mendidik penyokong agar lebih adil dan celik politik, di samping mendisiplinkan wakil rakyatnya di Parlimen dengan hujah yang lebih baik?,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Adam berkata, himpunan berlangsung semalam mencorak peristiwa penting dalam pembangunan demokrasi negara, bukan hanya untuk mereka yang turun ke jalan, malah kepada rakyat yang memerhati dari jauh termasuk di media sosial.
“Kita sedang membina sebuah negara yang lebih terbuka, matang dan adil. Inilah semangat Madani. Ada ruang untuk rakyat bersuara tanpa takut dan kerajaan yang bersedia mendengar tanpa angkuh,” katanya.
Kerajaan Madani katanya, menzahirkan ruang demokrasi yang bukan sekadar slogan, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat sehinggakan hak untuk berhimpun dan bersuara kini menjadi satu norma yang dihormati dan dilindungi.
“Dalam suasana baharu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan di lapangan. Kehadiran mereka tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi kita.
“Ia turut mengangkat peranan pasukan keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara, bukan sekadar sebagai alat penguatkuasaan,” katanya.
Adam berkata, cita-cita Madani bukan hanya menjamin hak-hak sivil tetapi juga menjamin hak untuk kehidupan yang bermaruah melalui dasar-dasar pro-rakyat.
“Usaha kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup, membasmi kemiskinan, merangka reformasi ekonomi, memperkasa pendidikan dan menyediakan peluang pekerjaan adalah bukti komitmen berterusan kepimpinan negara,” katanya.
Mengulas kedudukan negara di peringkat antarabangsa, Adam berkata, kepemimpinan Anwar dan kerajaan telah berjaya mengangkat semula imej Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini oleh negara luar selepas pandemik.
“Peranan Malaysia kembali diiktiraf, suara kita kembali didengari. Namun pencapaian ini mungkin meresahkan pembangkang. Ketika kerajaan sibuk memulihkan negara, pembangkang pula ketandusan hala tuju.
“Lantas, strategi mereka dialihkan kepada mencipta ketidaktentuan dan permainan persepsi, bukan dengan dasar alternatif yang lebih baik, tetapi hanya dengan serangan ke atas personaliti.
“Kerajaan telah membuka ruang demokrasi seluasnya, kini terpulang kepada pembangkang untuk membuktikan sama ada mereka juga mampu menjunjung kematangan politik yang sama,” katanya. – UTUSAN










