KLANG: Kehadiran sekitar 18,000 berbanding sasaran setengah juta orang pada Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka oleh Perikatan Nasional (PN) semalam dianggap gagal.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Klang, Mohamad Shahrul Adnan berkata, kehadiran tersebut menunjukkan kegagalan besar dan manifestasi rakyat tidak lagi termakan dengan agenda politik kebencian dan fitnah.
Menurutnya, perhimpunan juga disifatkan sebagai hambar dan gimik politik lapuk yang tidak berakar kepada realiti semasa.
“Sekiranya benar pembangkang berhasrat untuk menurunkan Perdana Menteri, maka lakukanlah mengikut saluran perlembagaan. Bawalah usul undi tidak percaya di Parlimen dan buktikan PN memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
“Jangan menjadikan jalanan sebagai medan mainan politik demi menutupi kelemahan sendiri,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, polis menganggarkan seramai 18,000 orang menyertai Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, bagaimanapun perhimpunan itu berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal walaupun terdapat beberapa perkara teknikal yang tidak dipersetujui pada awalnya.
Jelas Mohamad Shahrul, kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan negara mencatatkan pelaburan asing tertinggi selain mengurus ekonomi dengan penuh bertanggung jawab dan memulihkan kepercayaan antarabangsa.
“Pada masa sama mengekalkan kestabilan politik yang sebelum ini tergugat akibat perebutan kuasa tidak bermoral. Rakyat hari ini lebih bijak dan tidak mudah dipengaruhi sentimen kebencian. Mereka melihat hasil, bukan retorik.
“Mereka menilai dasar, bukan drama. Perdana Menteri memperjuangkan prinsip reformasi selama puluhan tahun dan kini dalam masa singkat beliau berjaya meletakkan semula Malaysia di landasan yang betul,” ujarnya.
Katanya lagi, AMK Klang menyifatkan kegagalan demonstrasi semalam sebagai mesej jelas bahawa rakyat tidak mahu kembali kepada zaman kegawatan politik yang lalu.
“AMK akan terus berdiri teguh di belakang Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan dalam usaha membina masa depan negara yang lebih progresif, adil dan inklusif,” tambahnya. – UTUSAN










