SHAH ALAM: Timbalan Ketua Cabang Subang, Dr. Wan Hasifi Amin menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti bulan ini.
Beliau yang juga seorang usahawan berkata, minat berpolitik anak muda kini semakin merosot kerana beranggapan ia tidak relevan dengan kehidupan harian.
Menurutnya, PKR yang berlandaskan semangat reformasi perlu mengubah persepsi itu dengan menyediakan solusi yang memberi impak positif kepada ahli parti.
“Kita perlu rasa bertanggungjawab membantu membangunkan negara bersama kumpulan pemimpin muda dengan idea-idea segar. Justeru, saya nekad membawa perubahan dalam landskap politik negara dengan menawarkan diri bertanding jawatan jawatan Naib Ketua AMK pada pemilihan kali ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Wan hasifi yang pernah tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia pada 2020, berpengalaman luas dalam bidang teknologi akan diterjemahkan dalam karier politiknya.
“Salah satu inisiatif utama yang saya ingin perkenalkan ialah pelaksanaan aplikasi Community Group Buying (CGB) iaitu platform pembelian barangan asas secara kolektif.
“Ia dijangka memberi penjimatan perbelanjaan barangan sehingga 15 peratus kepada semua ahli PKR di negara ini,” ujarnya.
Malah, jelasnya politik bukan sekadar kuasa namun turut melibatkan soal menyelesaikan masalah rakyat.
“Sebagai teknokrat, saya percaya data, sistem dan teknologi boleh digerakkan untuk menjadikan politik lebih efisien, berintegriti serta mesra rakyat,” katanya.
Tambah graduan perubatan dari Rusia itu, beliau turut bercadang membina jaringan mahasiswa sebagai asas kepimpinan masa depan dengan memperluaskan memperluaskan Kelab Mahasiswa Keadilan ke seluruh dunia. – UTUSAN