Selangor sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR

Selangor sokong pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR

PKR
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa memerlukan seorang timbalan presiden yang tidak terikat dengan pentadbiran kerajaan bagi mengukuhkan kekuatan dalaman parti.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain itu, parti juga memerlukan individu yang mampu menyumbang sepenuh tenaga bagi menyusun persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menurut Naib Presiden PKR itu, partinya memerlukan pemimpin yang dapat menyusun strategi kukuh, struktur yang tersusun dan semangat segar dalam kalangan anggota.

“Hari ini, ketika negara memasuki fasa yang semakin mencabar dari segi politik, ekonomi dan sosial, PKR mesti dipimpin oleh barisan kepimpinan yang bukan sahaja memahami akar sejarah parti, tetapi mempunyai halatuju jelas, mampu menguatkan struktur dalaman parti, dan menyatukan suara anggota dari bawah ke atas.

“Sebagai Pengerusi MPN Selangor, saya menyatakan sokongan terbuka bersama rakan-rakan pimpinan dari seluruh cabang di negeri ini terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden,” katanya dalam satu kenyataan bersama 19 Ketua Cabang PKR di Selangor, hari ini.

Jelasnya, PKR bukan hanya memerlukan pemimpin yang mahir berpidato atau memenangi kerusi, sebaliknya yang faham denyut nadi anggota, bersedia mendengar akar umbi dan meletakkan parti mengatasi kepentingan peribadi.

Utusan Malaysia sebelum ini memetik sumbernya melaporkan Nurul Izzah akan mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang Rafizi

Pengumuman tersebut akan dibuat dalam masa terdekat susulan tindakan Rafizi yang dilihat kurang komited dalam menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden dan jawatan Menteri Ekonomi yang dipegangnya.

Malah, tindakan pemimpin utama PKR itu dikatakan telah mendapat restu semua pihak termasuk akar umbi, sekali gus menjelaskan jawatan nombor dua dalam parti itu akan ada pencabar.

Amirudin berkata, Nurul Izzah bukan orang baru, sebaliknya berjuang sejak muda selain menjadi suara anak muda dalam zaman penuh getir, namun tidak pernah meninggalkan medan perjuangan.

“Beliau membina nama bukan kerana nama keluarganya, tetapi kerana keteguhan prinsip dan keberanian berdiri untuk kebenaran. Beliau juga membuktikan kredibilitinya dalam dua penggal sebagai Ahli Parlimen, sebagai Naib Presiden parti, serta sebagai pemikir dasar yang komited.

“Dalam dan luar negara mengiktiraf ketokohan beliau, tetapi yang paling utama anggota parti tahu siapa beliau, dan tahu apa yang telah beliau korbankan untuk PKR,” ujarnya.

Katanya lagi, beliau yakin dengan Nurul Izzah sebagai timbalan presiden akan dapat menyemai kepercayaan rakyat selain memastikan PKR kekal relevan, progresif dan berwibawa.

“Kepemimpinan presiden memerlukan gandingan yang mantap dan Nurul Izzah mampu menjadi rakan setia, penasihat jujur dan tenaga penggerak yang berani menyatakan kebenaran demi parti.

“Dengan penuh rasa tanggungjawab, kami berdiri teguh bersama Nurul Izzah. Semoga pencalonan ini menjadi permulaan kepada babak baharu perjuangan PKR yang lebih bersatu, matang dan membina,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya