Pemilihan TP PKR: Elakkan kalah jadi abu menang jadi arang - Utusan Malaysia

Pemilihan TP PKR: Elakkan kalah jadi abu menang jadi arang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera

Sebagai Timbalan Ketua Cabang Setiawangsa, hari ini saya terpanggil untuk memberi sedikit komen kepada sesetengah calon yang bertanding mahupun di kelompok “HIRUK’ ataupun kelumpuk “DAMAI”. Sudah hampir dua minggu masyarakat diluar sana dihiburkan dengan wayang kulit parti yang diterajui “Tok Dalang” Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

Kita sedia maklum bahawa dua figura ini adalah sosok yang disegani dan dihormati oleh ahli parti. Dan disebabkan oleh satu jawatan yang ditandingi oleh mereka jugalah menjadikan nama parti PKR terus “mendunia”.

Liga pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR kali ini sedikit sebanyak membuka ruang dan memperlihatkan warna sebenar calon-calon bertanding. Suasananya semakin hangat dan mendidih, berbeza ketika menjadi pembangkang satu ketika dahulu.

Adakah kita berasa lebih kuat jika berjaya menjatuhkan seseorang dengan kata-kata sinis? Atau adakah kita berasa lebih cerdik jika berjaya mengeluarkan data-data yang sepatutnya hanya dipertontonkan oleh ahli parti sendiri?. Disini mula timbul kecelaruan dalam menjuarai liga tersebut.

Janganlah jadikan pemilihan kali ini sebagai medan untuk kita berpecah belah sambil ‘menembak’ antara satu sama lain.. Adalah menjadi kerugian besar jika parti yang selama ini cukup harmoni dan disegani akhirnya menjadi bahan ketawa dan sindiran oleh pihak lain.

Ahli di akar umbi sentiasa memerhati dan menghakimi perjalanan politik figura-figura ini selepas menjadi kerajaan. Siapa yang Ikhlas memimpin dan menghulurkan tangan dan siapa yang terus melangkah mendongak langit selepas memegang jawatan.

Harus diingat selepas pemilihan ini kita akan berdepan dengan beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang merupakan ‘bench mark’ sebelum melangkah ke fasa Pilihan Raya Umum ke -16. Tidak perlulah berceramah dengan menggila seolah-olah tiada lagi hari esok.

Sedarlah, setiap pohon itu perlu dijaga dan siram dari benih dan akarnya untuk perolehi hasil yang subur dan berkualiti. Sentiasa sematkan dalam sanubari bahawa perjuangan di pentas politik bukan semata untuk dapatkan kuasa posisi tetapi adalah kuasa hakiki. Hadir berjuang sebagai sebuah pasukan bukannya datang dengan sekelompok tukang sorak. Beradab dan bersopanlah semasa berkempen, jangan pecah belahkan kekuatan parti sedia ada.

Diharapkan seusai tempoh berkempen ini marilah kita bersama semula berganding bahu. Kita tidak mahu yang menang jadi arang dan yang kalah menjadi abu. Terus kukuhkan jentera serta lipat gandakan usaha sehingga ke akar umbi. Perjuangan masih jauh di hadapan. Terus kukuhkan sokongan untuk berikan mandat kepada Presiden Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memimpin negara buat penggal kedua.

Ashraf Mazlan
Timbalan Ketua Cabang Setiawangsa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN