PETALING JAYA: Naratif lantikan politik sebagai ganjaran atas khidmat kepada parti memberi isyarat berbahaya bahawa jawatan dalam badan awam boleh diberikan seperti cenderamata politik dan bukan berdasarkan kelayakan atau kecekapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari berkata, lantikan politik bukan satu bentuk imbuhan tetapi ia adalah jawatan yang memikul amanah awam dan tanggungjawab yang besar.
“Sama ada individu yang dilantik mempunyai latar belakang politik atau tidak, semua lantikan sebegini mesti berdasarkan merit, integriti dan pengalaman profesional.
“Hanya melalui proses yang telus dan berasaskan prestasi sahaja kita akan dapat memastikan institusi awam negara dipimpin oleh individu yang mampu berkhidmat untuk rakyat dengan cekap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 24 Mei lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lantikan politik dalam kerajaan yang mengangkat individu layak seharusnya dibenarkan dan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, lantikan politik adalah satu bentuk balasan yang selayaknya diterima individu berkenaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada kejayaan parti hingga menjadi kerajaan.
Tambah Aira, perusahaan milik kerajaan (SOE) wujud untuk melaksanakan dasar negara dan menyediakan perkhidmatan penting kepada masyarakat, bukan alat untuk mengukuhkan naungan politik.
“Dengan lebih daripada 1,800 buah SOE di Malaysia, kebanyakannya membawa risiko fiskal yang besar, beberapa institusi yang tidak diurus dengan baik sahaja sudah cukup untuk memberikan kerosakan teruk kepada ekonomi negara.
“Melantik pengarah yang berkelayakan, beretika dan berpengalaman bukan sekadar amalan baik, ia adalah keperluan ekonomi negara,” katanya.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh melazimkan pelantikan jawatan dalam badan awam sebagai hadiah politik.
Jelasnya, walaupun terdapat realiti politik yang perlu dihadapi oleh Perdana Menteri, prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus yang baik tidak boleh dikompromi.
“Kekurangan ketelusan dalam lantikan politik akan menghakis kepercayaan terhadap demokrasi, menyuburkan sinisme awam dan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
“Inilah sebabnya IDEAS membangunkan Pantau Kuasa, satu alat ketelusan awam yang menjejak lantikan politik merentas lebih daripada 400 entiti.
“Platform ini merangkumi data daripada lima pentadbiran persekutuan antara tahun 2013 hingga 2024, membolehkan orang ramai mengakses rekod dan trend lantikan secara mudah dan berasaskan data,” katanya. – UTUSAN