Ketua Bersatu Bahagian Sekijang, Uzzair Ismail membidas pihak-pihak tertentu yang menyeru supaya ahli-ahli Bersatu kembali menyertai UMNO yang mana menurutnya saranan tersebut adalah perkara yang tidak munasabah dan masuk akal.
Menurutnya cadangan beberapa pihak untuk membubarkan Bersatu hanya menunjukkan rasa cemas mereka terhadap kebangkitan dan pengaruh sebenar parti itu dan bukannya aspek kelemahan yang sering dijadikan asbab dan alasan. Membubarkan Bersatu bukan sahaja saranan yang tidak berasas, malah memperlihatkan kegusaran segelintir pimpinan dan golongan tertentu yang gusar terhadap kekuatan dan pengaruh parti tersebut yang semakin diterima rakyat, khususnya dalam kalangan generasi muda dan pengundi baharu.
“Bersatu, Pas dan UMNO masing-masing lahir dengan sejarah dan kekuatan tersendiri, namun kesediaan untuk duduk semeja, berlapang dada, dan membina permuafakatan berdasarkan prinsip Islam, melayu dan tanah air masih boleh dibincangkan,” “Saya percaya kepada semangat ukhuwah dan penyatuan ummah tetapi bukan dengan membubarkan parti. Kita masih boleh mencari titik persamaan dalam perjuangan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara,” ujarnya.
Menurutnya lagi, jika perjuangan asal masih utuh dan relevan, maka tidak timbul soal untuk kembali kepada parti yang telah ditolak oleh rakyat dalam beberapa siri pilihan raya umum sebelum ini, bahkan perpaduan tidak perlu mengorbankan jati diri parti, tetapi menuntut keikhlasan dalam kerjasama.
Malah jalan terbaik adalah melalui mesyuarah dan duduk semeja demi mencapai matlamat untuk mengukuhkan perpaduan serta persefahaman.
“Saya menyertai Bersatu bukan kerana kecewa atau dendam politik, tetapi kerana yakin terhadap agenda pembaharuan dan perjuangan membina semula Malaysia ke arah yang lebih baik. Parti ini bukan tempat buangan, tetapi platform masa depan untuk rakyat yang inginkan perubahan, khususnya orang-orang melayu,” “Memang tidak dinafikan penubuhan Bersatu terdiri daripada sebahagian ahli-ahli UMNO, tetapi harus diingat bahawa ramai rakyat yang sebelum ini tidak pernah berparti menjadikan Bersatu sebagai pilihan,” ujarnya.
Menurutnya generasi hari ini sudah cakna dengan trend menolak budaya politik yang diwarisi turun-temurun dalam keluarga, apa yang rakyat mahukan ialah kepimpinan yang telus, amanah, adil, berwibawa dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat dengan mambawa negara ke arah yang lebih baik.
Realitinya, Perikatan Nasional kini mempunyai 74 orang Ahli Parlimen, dan jelas menunjukkan bahawa kekuatan politik melayu islam bukan sekadar didominasi oleh satu parti sahaja, tetapi amaran daripada rakyat yang inginkan perubahan. “Generasi hari ini harus bangkit dan berani membuat pilihan. Jangan biarkan masa depan anda dan tanah air ini ditentukan oleh mereka yang hanya mahu kuasa demi kepentingan peribadi.
Bersatu dan Perikatan Nasional bukanlah alternatif sementara, tetapi satu wadah perjuangan masa depan. Kami bukan produk kegagalan lampau, kami adalah suara rakyat yang inginkan perubahan,” ujarnya.