Speaker sahkan terima permohonan PN tukar tempat duduk Zainol Fadzi di DUN - Utusan Malaysia

Speaker sahkan terima permohonan PN tukar tempat duduk Zainol Fadzi di DUN

ZAINOL FADZI PAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengesahkan menerima surat permohonan daripada Perikatan Nasional (PN) Perak bagi menukar tempat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Menurutnya, surat yang ditandatangani oleh Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tersebut diterimanya pada 16 April ketika Persidangan DUN Perak berlangsung.

“Ya, pejabat saya ada menerima surat tersebut dan saya telah minta Setiausaha Dewan untuk membalasnya.

“Kita akan melihat pelbagai pertimbangan tentang permintaan tersebut.

“Kedudukan tempat duduk ini memang ditentukan mengikut budi bicara oleh Speaker DUN berdasarkan Perintah-Perintah Tetap 2(2) dan 2(3) Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Mohammad Zahir, menjadi kebiasaan kedudukan ADUN di dalam DUN mengambil kira senioriti atau merit tertentu seperti tempoh berkhidmat, pengalaman sebagai exco kerajaan negeri dan kedudukan dalam parti.

“Jika perubahan tersebut dipertimbangkan ia akan berlaku di dalam persidangan DUN Perak tempoh ini yang akan bersambung pada Isnin ini,” katanya.

Difahamkan perubahan tempat duduk Zainol Fadzi dicadangkan dengan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi.

Pada Mac lalu, Zainol Fadzi melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Bersatu Perak selepas hampir enam tahun memegang tanggungjawab itu.

Zainol Fadzi yang merupakan Ketua Whip Pembangkang sebelum ini duduk bersebelahan dengan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria dan ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin.

Kedudukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu ditentukan berdasarkan kedudukan paling kanan selepas Ketua Pembangkang kerana telah berkhidmat sebagai ADUN selama empat penggal dari 2008 sehingga kini.

Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak itu juga pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak selama tiga penggal sehingga tahun 2022. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN