‘Kabel saya doa’ - Afdlin tepis tuduhan, terus melangkah - Utusan Malaysia

‘Kabel saya doa’ – Afdlin tepis tuduhan, terus melangkah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAWANGSA – Dikenali ramai sebagai seniman versatil, Dato’ Afdlin Shauki telah lama menabur khidmat dalam dunia yang lebih senyap namun penuh makna — dunia kebajikan dan kemanusiaan dengan penglibatan aktif dalam politik menerusi Cabang PKR Setiawangsa.

Melalui Yayasan Afdlin Shauki (YAS), beliau sebelum ini aktif dalam kerja-kerja kebajikan seperti pembinaan “Taman Malaysia” di Syria, serta bantuan minyak dan bakul makanan kepada komuniti pendapatan rendah di Malaysia.

“Perjuangan saya bermula bukan di pejabat berhawa dingin, tapi dari lorong-lorong sempit dan rumah pangsa rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penglibatannya bukan bermusim, sebaliknya hadir dengan rekod perkhidmatan, pengalaman, dan kesungguhan untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap politik.

Manifesto “Mesra Setiawangsa” menjadi tunjang komitmennya untuk membawa pendekatan kepimpinan yang menyantuni rakyat dan membina semula kepercayaan terhadap sistem politik.

Bagaimanapun, Afdlin turut menjadi sasaran fitnah apabila tular dakwaan bahawa beliau terlibat dalam salah laku projek DBKL bernilai RM4 juta.

Beliau menafikan tuduhan tersebut dan SPRM juga telah mengumumkan bahawa beliau tidah bersalah.

“Ada warga maya (netizen) yang mendakwa saya terlepas kerana pakai kabel. Benar! Saya guna kabel iaitu dengan doa setiap hari kepada Allah,” ujarnya, namun tegas bahawa fitnah tidak akan menggoyahkan semangat perjuangannya.

Berdasarkan pemilihan lalu yang menyaksikan kekalahannya dengan margin tipis lebih 100 undi, beliau optimis sokongan kini berpihak kepadanya.

Sebagai seorang tokoh seni, Dato’ Afdlin Shauki membawa kelebihan luar biasa — kekuatan empati, komunikasi serta pengalaman membina naratif yang mampu merubah pemikiran dan membuka ruang penyatuan masyarakat.

Selain politik, beliau kini dalam proses menyiapkan filem terbaharunya Baik Punya YB, sebuah komedi sindiran terhadap budaya rasuah dan hipokrasi dalam politik.

Filem tersebut dilihat sebagai kesinambungan perjuangannya dalam menyampaikan mesej rakyat melalui seni.

“Saya percaya rakyat kita sudah cerdik. Tapi kadang-kadang kita perlu ketawa dulu untuk sedar bahawa banyak yang kita gelakkan itu sebenarnya sedang berlaku di depan mata,” mampu membuka hati, dan politik yang jujur boleh membuka jalan,” katanya sambil menjelaskan mesej yang ingin disampaikan ialah ‘YB’ korup akhirnya terdedah oleh rakyat, bukan lawan politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN