“Jangan bertolak ansur isu pencerobohan tanah,”- Pemuda UMNO Bera - Utusan Malaysia

“Jangan bertolak ansur isu pencerobohan tanah,”- Pemuda UMNO Bera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pemuda UMNO Bahagian Bera berdiri teguh dan menyokong penuh tindakan tegas yang diambil oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Negeri Pahang serta pihak berkuasa dalam menangani isu pencerobohan tanah kerajaan secara haram di Raub.

Tanah kerajaan bukan hak milik peribadi yang boleh diterokai sesuka hati tanpa sebarang kelulusan. Adalah tidak bertanggungjawab dan amat keterlaluan apabila hasil kekayaan negeri ini dirompak oleh pihak yang tidak menghormati undang-undang dan kedaulatan negeri.

Menurut ketuanya, Nashriq Ismail Sabri, sebagai sebuah sayap yang mendukung prinsip parti, pemuda sentiasa menjunjung kasih dan menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang atas ketegasan Baginda dalam mempertahankan hak negeri, kedaulatan undang-undang, serta maruah rakyat Pahang.

Cukup-cukuplah isu Tanah Haram Durian ini dipolitikkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi. Pemuda UMNO Bahagian Bera tidak akan sekali-kali menyokong mana-mana pihak yang cuba mempertahankan pencerobohan tanah secara haram,” katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya undang-undang boleh diperlekeh dan dikesampingkan atas alasan politik atau tekanan luar, maka bersedialah untuk rakyat melihat keruntuhan sistem perundangan dan ketenteraman negara.

“Oleh itu jangan sesekali kita bertolak ansur terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang mengancam kedaulatan undang-undang dan kesejahteraan negeri,” katanya ketika dihubungi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN