IPOH: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning menunjukkan gelombang hijau yang pernah mempengaruhi perjalanan politik negara ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah hilang momentum.
Pemerhati politik, Muhammad Zafir Mohd. Saman, PN gagal memperluaskan pengaruh kepada segmen pengundi lebih luas walaupun calonnya, Abd. Muhaimin Malek mendapat 6,059 undi.
“Kegagalan menawarkan naratif pembangunan nasional yang inklusif menyebabkan sokongan kepada mereka hanya dalam kawasan tertentu sahaja, tidak lagi melimpah seperti dahulu.
“Ayer Kuning juga menyaksikan kelainan berbanding siri pilihan raya sebelum ini banyak dipacu oleh emosi marah, kecewa, harapan menggunung, namun kini, politik emosi kelihatan mencapai titik jenuh.
“Pengundi dilihat semakin bersikap rasional, menilai prestasi sebenar, melihat hasil dasar, dan mempertimbangkan impak langsung kepada kehidupan harian mereka. Ini mewajibkan semua parti menggandakan usaha membuktikan keupayaan melalui fakta, bukan lagi retorik kosong,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kata Muhammad Zafir yang juga Ahli Dewan Belia Perak, kemenangan BN yang mewakili kerajaan Perpaduan dalam PRK tersebut adalah hasil daripada semangat kekitaan dan mengelakkan ketidakstabilan politik pasca-PRU15.
Katanya, kemenangan mana-mana parti pasca-PRU15 tidak lagi menjamin kelangsungan, namun ia merupakan satu amanah perlu dipertahankan dengan prestasi, ketelusan, dan kejujuran.
“Ketelusan dalam pentadbiran, konsistensi dasar, keupayaan mengurus ekonomi dan integriti dalam setiap keputusan mesti dipertingkatkan.
“Sebarang kelemahan dalam aspek ini akan menjadi peluru untuk pembangkang, terutamanya dalam suasana rakyat yang semakin kritikal dan tidak lagi mudah dipujuk dengan slogan,” katanya.
Kata Muhammad Zafir, Kerajaan Perpaduan perlu mempercepatkan pembaharuan ekonomi, memperbetulkan persepsi integriti dan membuktikan keberkesanan dasar sebelum pilihan raya umum akan datang. – UTUSAN









