Pemilihan Bersatu: Tiga wakil dari Perlis tanding MPT

Pemilihan Bersatu: Tiga wakil dari Perlis tanding MPT

IZIZAM IBRAHIM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua Exco dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perlis menawarkan diri bertanding sebagai calon Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam pemilihan parti itu.

Exco kerajaan negeri dari Bersatu, Izizam Ibrahim yang mengesahkan perkara itu, berkata, selain dirinya, dua lagi yang menawarkan diri bertanding ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis merangkap Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah dan ADUN Tambun Tulang juga Exco kerajaan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak.

Selain itu, dalam pemilihan Bersatu bulan depan, Izizam yang juga Timbalan Pengerusi Bersatu negeri dan Abu Bakar
dijangka mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar dan Kangar selepas dikatakan tidak ada calon yang mencabar jawatan berkenaan.

Izizam berkata, beliau memilih untuk bertanding MPT pada kali ini bersama dua lagi calon dari Perlis bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan yang dipertandingkan.

“Bagi MPT, saya mendapat maklumat terdapat lebih 70 pencalonan untuk mengisi jawatan berkenaan dan parti memerlukan dalam 20-25 orang.

“Selain itu, pemilihan Bersatu Bahagian Padang Besar juga amenyaksikan hanya satu pertandingan membabitkan jawatan Naib Srikandi,” katanya.

Sementara itu, hanya jawatan Ketua Bersatu Bahagian Arau dijangka bakal menyaksikan pertembungan selepas pemangkunya, Megat Hashirat Hassan meluahkan hasrat tidak bertanding jawatan itu sebaliknya hanya menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa parti bahagian berkenaan.

Megat Hashirat berkata, beliau hanya memilih untuk bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa parti bahagian dalam pemilihan kali ini untuk memberi ruang kepada calon muka baharu.

Kata Exco kerajaan negeri merangkap ADUN Pauh itu, beliau hanya ingin menumpukan perhatian kepada tugas-tugas dalam
pentadbiran kerajaan negeri.

“Semua yang bertanding itu adalah kawan-kawan saya juga dan walaupun begitu, saya akan tetap membantu untuk bagi perkhidmatan terbaik sebab selama ini juga mereka banyak membantu sewaktu saya memangku jawatan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Hashirat berkata, proses pemilihan parti itu di negeri ini dijangka tidak berdepan masalah malah beliau juga mengharapkan penglibatan seramai mungkin untuk bersama-sama kepimpinan Bersatu.

Beliau berkata, terdapat banyak muka-muka baharu yang dilihat bakal bertanding di Bahagian Arau di mana kebanyakan daripada mereka berusia bawah 40-an.

“Kepimpinan kali ini akan bawa ketua dalam kalangan orang muda dan menang atau kalah, kita semua ini adalah sahabat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN