Bertanding di Sungai Bakap, usah berselindung di sebalik PH

Bertanding di Sungai Bakap, usah berselindung di sebalik PH

KEPUTUSAN PRK DUN Kuala Kubu Baharu mencatatkan kemenangan kepada calon PH. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Salah seorang pemimpin UMNO yang digantung keahlian mencabar parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bagi membuktikan status terkini penerimaan dan sokongan rakyat.

Ini susulan kenyataan dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menyatakan, parti sedia menimbang menerima semula pemimpin dan ahli yang disingkirkan ketika proses pemutihan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang digantung keahlian selama enam tahun berkata, tiada gunanya untuk kembali kepada parti yang tersasar daripada perjuangan sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…
MUHAMMAD JAILANI KHAMIS

Jelasnya, malah sehingga kini UMNO belum membuktikan sokongan pengundi Melayu telah kembali kepada mereka, memandangkan beberapa PRK sebelum ini dimenangi Pakatan Harapan (PH).

“Saya cabar UMNO bertanding di Sungai Bakap. Jangan asyik berselindung di sebalik rakan politik baharunya iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah). Jika benar mereka berperanan dalam kerajaan hari ini untuk membela orang Melayu dan bumiputera, masuklah bertanding.

“Tiada sebab untuk pemimpin yang dibuang atau digantung keahlian kembali kepada parti yang tersasar. Begitu juga dengan penyokong yang pastinya tiada sebab untuk kembali mengundi UMNO,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan kewajaran untuk kembali menyokong parti yang dianggapnya sudah rosak dan ditolak rakyat.

Beliau berkata, bekas ahli parti itu mempunyai pelbagai pilihan lain jika mahu terus berada dalam politik negara.

Setakat ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Barisan Nasional (BN) akan menggerakkan jentera untuk menghadapi PRK DUN Sungai Bakap, walaupun calon yang bertanding bukan daripada gabungan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, Kerajaan Perpaduan belum memperincikan perihal berkaitan calon yang akan bertanding di kerusi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×