MELAKA: Pergerakan Pemuda UMNO mendakwa penyiaran dokumentari berjudul ‘Man on the Run’ yang sedang ditayangkan melalui platform penstriman Netflix sebagai berat sebelah serta lebih bersifat propaganda, berbanding mengupas isu dengan profesional dan beretika.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tanpa mahu menafikan isu kebebasan media mahupun kebebasan bersuara, kandungan dan kupasan menerusi wawancara dibuat terhadap beberapa pihak dalam dokumentari itu telah menyatakan pelbagai perkara terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelasnya, ia antara lain bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah, sekaligus melanggar nilai kebebasan bersuara yang diberikan.
“Malah, ada kandungan yang bersifat melampau seperti mengaitkan Najib terlibat dengan kes pembunuhan Altantuya dan Kevin Morais.
“Penyiaran kandungan ini adalah merupakan suatu bentuk trial by media, tatkala Najib masih berhadapan dengan perbicaraan di mahkamah dan mempunyai niat jahat untuk membentuk persepsi negatif ke atas beliau.
“Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak dalam dokumentari juga merupakan suatu penghinaan kepada prosiding mahkamah yang sedang berjalan dan ini merupakan suatu isu yang perlu dipandang secara serius oleh semua pihak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Muhamad Akmal, Pemuda UMNO menggesa Menteri komunikasi, Fahmi Fadzil melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan segera dengan mengarahkan Netflix mengeluarkan dokumentari terbabit secepat mungkin.
“Setiap individu dilindungi oleh undang-undang dan selagi mana seseorang itu belum dibuktikan bersalah di mahkamah, adalah salah untuk pihak-pihak menjustifikasikan individu tersebut bersalah.
“Pemuda UMNO sentiasa memegang teguh prinsip integriti dan hak demokrasi. Maka atas prinsip inilah, kita menyeru agar semua pihak dapat menghormati dan memelihara setiap kepentingan individu, seperti mana yang telah dimaktubkan di dalam nas perundangan negara,” katanya. – UTUSAN