MELAKA: Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh mengakui parti itu kehilangan sokongan orang Melayu ketika ini, namun tetap yakin UMNO masih menjadi pilihan dalam membela nasib rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, dakwaan bahawa UMNO kini tiada tempat di hati orang Melayu adalah tidak benar.
Jelasnya, UMNO masih menunjukkan pencapaian yang membanggakan dalam pilihan raya kecil (PRK) terutama di kawasan yang majoritinya adalah pengundi Melayu.
“Benar sokongan orang Melayu terhadap UMNO kini berkurangan berbanding sebelum ini tetapi untuk menyatakan sudah tiada langsung tempat di hati orang Melayu, bagi saya itu tidak benar.
“Betul kita kalah di PRK Parlimen Kemaman tetapi jangan lupa kita juga menang di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai. Hampir 70 peratus pengundi di Pelangai adalah Melayu.
“Pas juga pernah mengalami kekalahan teruk sebelum ini tetapi kita tidak pernah kata yang Pas umpama kanser. Menjadi adat parti politik ada ketika naik dan ada waktunya turun,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bahawa UMNO kini ibarat kanser tahap lima yang boleh diubati tetapi sukar untuk dipulihkan.
Tambah Muhamad Akmal, sokongan orang Melayu beralih kepada Perikatan Nasional (PN) kerana berasakan UMNO tidak melakukan pembaharuan seperti yang mereka inginkan.
Menurutnya, orang Melayu memberikan undi kepada PN sebagai tanda protes terhadap UMNO memandangkan mereka tidak mempunyai alternatif lain.
“Jika kepemimpinan UMNO sedar perubahan yang rakyat mahukan dan berusaha untuk melaksanakannya, saya yakin mereka akan kembali semula kepada UMNO. Saya percaya rata-rata orang Melayu masih sayangkan UMNO.
“Sekiranya perubahan yang dilakukan kena (tepat) pada kemahuan orang Melayu, insya-Allah UMNO akan mendapat kepercayaan seperti sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN











