PN Melaka persoal ADUN bukan Islam dibenar cadang

PN Melaka persoal ADUN bukan Islam dibenar cadang jawatankuasa masjid, surau

MOHD. YADZIL YAAKUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perikatan Nasional (PN) Melaka mempersoalkan kewajaran di sebalik keputusan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan Islam mencadangkan pelantikan jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri ini.

Pengerusinya, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, tindakan itu dilihat seperti menggadaikan kepentingan umat Islam kepada bangsa lain.

Soal beliau, mengapa orang bukan Islam harus dilibatkan sedangkan sebelum ini tidak pernah orang Islam dirujuk dalam penentuan jawatankuasa rumah ibadat agama lain.

“Pernahkah kita dengar orang Islam dirujuk terlebih dahulu dalam penentuan jawatankuasa rumah ibadat agama lain? Kenapa apabila berkaitan masjid dan surau kita izinkan agama lain mengatur apa yang eksklusif kepada umat Islam?

“Agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan Islam sememangnya memupuk penyatuan ummah kerana ia akan membawa kepada kemajuan umat Islam. Ingat sarang tebuan usah dijolok, padah akibatnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Melalui satu surat dipercayai dikeluarkan MAIM bertarikh 25 Oktober 2023 yang dikongsikan Mohd. Yadzil, ia menyatakan bahawa ADUN kawasan bukan Islam boleh mencadangkan senarai jawatankuasa dengan sokongan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) beragama Islam.

Ketetapan itu didakwa diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 11 Oktober lalu bagi urusan pelantikan baharu jawatankuasa masjid dan surau sesi 2024-2026.

Selain itu, Penyelaras Japerun juga bertanggungjawab terhadap cadangan keanggotaan jawatankuasa masjid dan surau di kawasan pembangkang iaitu di DUN Bemban dan DUN Sungai Udang.

Tambah Mohd. Yadzil yang juga ADUN Bemban, syarat tersebut juga menunjukkan berlaku campur tangan politik dalam urusan pentadbiran masjid dan surau.

Jelasnya, masjid dan surau adalah tempat terbaik penyatuan ummah kerana semua umat Islam tanpa mengira darjat, bangsa, taraf pendidikan, umur mahu pun fahaman politik berkumpul dengan satu tujuan untuk beribadat kepada Allah.

“Islam menggalakkan kita berkawan dengan orang bukan Islam tetapi bukan sehingga menggadaikan kepentingan umat Islam kepada bangsa atau agama lain.

“Syarat yang ditetapkan untuk pembentukan jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan ADUN bukan beragama Islam mencadangkan senarai jawatankuasa bukan sahaja merupakan campur tangan politik tetapi paling mendukacitakan ia merupakan cubaan membenarkan orang bukan Islam campur tangan dalam urusan agama Islam,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN