DUN Melaka: Kutipan hasil rendah, pembangkang dakwa jawapan

DUN Melaka: Kutipan hasil rendah, pembangkang dakwa jawapan KM tak kukuh

AB. RAUF Yusoh membentangkan Belanjawan 2024 Melaka ketika Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri diminta menjelaskan perbezaan kadar kutipan hasil lebih RM190 juta berbanding jumlah yang diharapkan, setakat November tahun ini.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, jumlah itu lebih rendah berbanding unjuran sepatutnya memandangkan hasil tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan mengurus.

Menurut beliau, jawapan yang diberikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh tidak meyakinkan kerana tiada penjelasan kukuh.

“Semalam saya ada bertanya berkaitan kadar kutipan hasil 2023 dan jawapan yang diterima mengecewakan kerana jumlah yang diberi tidak seperti yang diharapkan (bagi tempoh) sekitar November ini. Beliau hanya memberikan jawapan tidak perlu risau kerana terdapat lebihan (belanjawan) tahun-tahun sebelumnya.

“Oleh itu, saya ingin bertanyakan berapa banyak lebihan yang ada sehingga dapat menampung RM190 juta itu? Selain itu, syarikat-syarikat yang memohon penangguhan cukai dikatakan kerana faktor ekonomi.

“Jadi saya mahu senarai 10 syarikat serta jumlah penangguhan cukai mereka. Adakah ini melibatkan syarikat-syarikat yang menjalankan projek Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) untuk membayar premium tanah atau bayaran penyelesaian perjanjian kepada kerajaan negeri,” katanya ketika sesi perbahasan Usul dan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2024 pada Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

MOHD. YADZIL YAAKUB

Semalam, Ab. Rauf dalam pembentangan Belanjawan 2024 Melaka memaklumkan, hasil kerajaan negeri dianggarkan berjumlah RM479.6 juta iaitu anggaran hasil cukai berjumlah RM167.4 juta, hasil bukan cukai (RM298.9 juta) dan terimaan bukan hasil (RM13.3 juta).

Dalam pada itu, mengenai projek Jambatan Darat oleh Thailand, Mohd. Yadzil berkata, kerajaan negeri perlu menjelaskan kesannya terhadap SM-WEZ termasuk tiga syarikat utama yang terlibat dengan projek berkenaan.

Katanya, walaupun Jambatan Darat masih di peringkat awal, namun terdapat kebimbangan terhadap daya saing SM-WEZ apabila perjalanan kapal tidak lagi perlu melalui Selat Melaka.

Sementara itu, Mohd. Yadzil turut mempersoalkan kewajaran seorang Ketua Menteri membuat lawatan ke luar negara bagi mempelajari pengurusan jalan berbanding menghantar pakar-pakar berkaitan untuk belajar secara khusus.

Jelasnya, Ab. Rauf telah mengadakan lawatan ke luar negara sebanyak lima kali sejak dilantik menerajui kerajaan negeri pada 31 Mac lalu.

“Apakah ini akan memberi manfaat kepada Melaka dan saya lihat ada lawatan untuk pelajari pengurusan jalan. Apa standard Ketua Menteri sendiri turun (pergi) ke luar negara untuk pelajari hal-hal berkaitan jalan dan sebaiknya hantar pakar-pakar untuk belajar.

“Rakyat merungut kos sara hidup tinggi. Alangkah baiknya kos itu (lawatan) digunakan untuk membantu rakyat di bawah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN