‘Kemenangan Simpang Jeram, kemenangan PH-BN’

‘Kemenangan Simpang Jeram, kemenangan PH-BN’

NAZRI Abdul Rahman ditemui pemberita di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Ir. Nazri Abdul Rahman menyifatkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram merupakan hasil gabungan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, kerjasama itu memberikan kemenangan selesa dalam PRK kali ini.

“Kemenangan ini bukan kemenangan saya seorang. Ini adalah kemenangan berpasukan kerana pilihan raya kali ini adalah gabungan antara PH dan BN.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jentera di pihak PH dan BN, tanpa kerjasama mereka, kerja keras mereka, tak mungkin saya dapat kemenangan sebegini rupa. Ini bukan kemenangan saya seorang tetapi kemenangan semua,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Nazri memenangi kerusi itu dengan majoriti lebih besar iaitu 3,514 undi. Formula Kerajaan Perpaduan antara PH dan BN menunjukkan keputusan positif di Johor yang mana Nazri berjaya memperoleh 13,844 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Mazri Yahya.

Tambah Nazri, beliau merakamkan penghargaan kepada pengundi Simpang Jeram yang menaruh kepercayaan terhadapnya.

“Masyarakat di Muar khususnya di DUN Simpang Jeram, saya ucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang memilih saya untuk menjadi wakil mereka, saya ucap terima kasih banyak-banyak. Insya-Allah, saya akan berusaha untuk membantu mereka sepanjang satu penggal saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya akan jumpa seberapa ramai pengundi untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka, tanpa sokongan mereka, siapalah saya sebagai ADUN,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kemenangan ini mematikan stigma kononnya kerjasama PH dan BN ditolak, beliau tidak terlalu bimbang dengan perkara itu sebaliknya hanya mahu menumpukan tugasnya sebagai ADUN.

“Mungkin begitu kalau andaian begitu. Kalau betul apa yang dinyatakan, insya-Allah begitu jadinya. Saya telah diberi mandat, jadi beberapa janji pilihan raya akan saya cuba penuhi dalam masa tempoh satu penggal secara keseluruhannya, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN