Ahmad Maslan percaya kes Zahid beri kesan positif

Ahmad Maslan percaya kes Zahid beri kesan positif

AHMAD Maslan dan calon Pakatan Harapan (PH) PRK DUN Simpang Jeram, Ir. Nazri Abdul Rahman ketika program menyantuni penduduk di Taman Pertama Indah, Muar, Johor. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Keputusan kes mahkamah melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) meraih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan, keputusan tersebut seharusnya dipandang positif, bukannya terpengaruh dengan sentimen dimainkan sesetengah pihak.

“Kes ini sebenarnya memberi kesan yang amat positif kerana akhirnya kebenaran dapat ditegakkan, kalau kita melihat dari sudut begitu.

“Ya, saya tahu pihak yang tidak suka mesti melihat dari sudut negatif. Ia bererti betulkan pandangan mereka bahawa ini adalah pelepasan daripada kezaliman yang amat dahsyat dan menegakkan kebenaran dan keadilan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pengundi di Taman Pertama Indah di sini, hari ini.

AHMAD Maslan dan calon Pakatan Harapan (PH) PRK DUN Simpang Jeram, Ir. Nazri Abdul Rahman ketika program menyantuni penduduk di Taman Pertama Indah, Muar, Johor. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Selepas 77 hari dibicarakan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri.

Tambah Ahmad, UMNO tidak bimbang dengan kemungkinan wujudnya protes dalam kalangan pengundi parti, Sabtu ini.

“Mereka nak protes apa ya? Kalau mereka protes bererti tempat ini jadi pembangkang. Apa faedah untuk lima tahun akan datang.

“Kita kena berfikir panjang sebelum kita nak mengambil keputusan. Yang negatif, saya yakin bilangannya tidak ramai. Saya tak nafi ada sebahagian tapi mereka adalah segelintir, segelintir bukan majoriti. Saya banyak kali pergi ke Simpang Jeram dan Pulai, maka saya tahu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN